Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ROS kata CEC DAP belum diiktiraf
Diterbitkan:  Oct 4, 2014 3:45 PM
Dikemaskini: 7:49 AM

Pendaftar Pertubuhan (ROS) menjelaskan bahawa Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP belum lagi diiktiraf walaupun DAP mendakwa sebaliknya.

Laporan Utusan Malaysia menyebut, Timbalan Ketua Pengarah ROS, Mohd Norzam Mustapa berkata badan tersebut masih belum mendapat apa-apa makluman dari mahkamah berhubung status sebenar jawatankuasa berkenaan.

"Kita tidak tahu bagaimana mereka boleh mengisytiharkan sebegitu (CEC DAP) sah kerana kita pun tidak dapat sebarang maklumat begitu daripada mana-mana pihak terutama mahkamah.

"Pada ketika ini, ROS sedang menyiasat perkara ini dan berharap dapat memperoleh jawapan terhadap persoalan-persoalan melibatkan CEC DAP tersebut," katanya seperti dipetik dalam laporan akhbar milik Umno itu.

Dalam satu lagi laporan, akhbar berkenaan memetik kenyataan bekas penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari yang membangkitkan mengenai status 120 cawangan DAP.

Beliau mendakwa cawangan berkenaan tidak berdaftar dan mengaitkan status mesyuarat pemilihan semula CEC itu dan kedudukan setiausaha agung parti, Lim Guan Eng.

"Ternyata kehadiran 120 cawangan yang belum berdaftar membuatkan mesyuarat pemilihan semula CEC DAP tidak sah.

"Maka keputusan pun tidak sah dan kedudukan Guan Eng sebagai setiausaha agung DAP juga tidak sah," beliau dipetik sebagai berkata.

DAP membuat permohonan semakan kehakiman terhadap ROS kerana enggan mengiktiraf CEC parti itu selepas mereka mengadakan pemilihan semula Disember tahun lepas.

Namun, permohonan itu ditarik semula dalam satu penyelesaian pada 23 September selepas satu penjelasan ROS di mahkamah.

Sehari selepas itu, setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke menggesa ROS agar meluluskan pendaftaran 120 cawangan baru DAP yang tertangguh akibat siasatan ROS pada awal tahun ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS