Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad belum memutuskan sama ada beliau akan menarik balik peletakan jawatannya sebagai penasihat Petronas seperti yang diminta oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.
"Saya dah tua, doktor pun suruh perlahankan sedikit aktiviti tetapi Perdana Menteri minta (mempertimbangkan semula keputusan itu), saya tidak tahulah.Tengok dulu macam mana...," katanya ringkas ketika ditanya mengenai perkara itu di hari ini.
Dr Mahathir ditemui pemberita selepas menghadiri perasmian Perhimpunan Agung Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibunegara.
Isnin lepas, Dr Mahathir dilapor berkata beliau melepaskan jawatan itu atas nasihat doktor.
Semalam, Najib meminta Dr Mahathir mempertimbangkan semula keputusan itu.
Mengenai perhimpunan agung Umno kali ini, Dr Mahathir berkata beliau kagum dengan kehadiran ramai perwakilan yang memberi isyarat Umno menjadi perhatian masyarakat umum.
Dr Mahathir yang juga bekas Presiden Umno turut menasihatkan kepimpinan tertinggi Umno supaya melaksanakan semua program yang telah dirancang untuk orang Melayu dan bumiputera sebagai bukti parti itu menjuarai nasib mereka.
- Bernama
