Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Wanita tuduh Shuib ‘tunggang’ arwah isteri mohon maaf
Diterbitkan:  Oct 27, 2024 10:54 AM
Dikemaskini: 2:54 AM

Seorang wanita membuat permohonan maaf secara terbuka malam tadi selepas memuat naik hantaran berbaur fitnah ke atas pelawak Shuib dan arwah isteri, Siti Sarah Raissuddin sebelum ini.

Pemilik akaun @thenadea itu berkata, dia mengakui tindakannya itu mengikut emosi dan tidak sepatutnya dilakukan.

“Saya ingin membuat permohonan maaf secara terbuka di atas hantaran yang dimuat naik sebelum ini kerana menyindir dan menyinggung Shuib sekeluarga.

“Saya sedar hantaran sebelum ini agak keterlaluan dan mengikut emosi, ia tidak sepatutnya dilakukan sama sekali,” katanya dalam satu video pendek dikongsi di Instagram.

Wanita terbabit turut mengucapkan terima kasih kepada Shuib kerana memilih untuk tidak memanjangkan isu tersebut.

Dia juga berjanji akan lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang kenyataan di media sosial.

“Tiada alasan yang membenarkan perbuatan saya dan berjanji akan lebih berhati-hati dalam penulisan selepas ini.

“Sekali lagi saya dengan sepenuh hati ingin memohon maaf kepada semua pihak terkesan, khususnya Shuib sekeluarga.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada Shuib kerana tidak memanjangkan hal ini. Terima kasih,” katanya.

Terdahulu, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad berang selepas seorang individu menuduhnya "menungggang" arwah isteri.

Shuib dilihat tidak berpuas hati dengan kenyataan wanita itu yang tidak senang melihatnya bercakap mengenai Siti Sarah.

@thenadea membuat hantaran fitnah itu gara-gara Shuib mengundang bekas banduan pembunuhan kejam, Khairul Azhar atau kini dikenali sebagai Abah Hayat sebagai tetamu audio siar yang dikendalikannya bersama Mamat dan Fizie.

Susulan itu, Shuib meminta individu tersebut bersemuka dengannya atau berdepan tindakan undang-undang.

Melalui semakan Malaysiakini, Shuib dilihat menyambut permohonan maaf itu dengan memberi respons positif.

Shuib yang juga usahawan itu menzahirkan terima kasih dengan berkongsi video berkenaan di Instagram miliknya.

“Terima kasih,” tulisnya pada kapsyen yang mengiringi permohonan maaf itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS