Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Demi memelihara keharmonian rumah tangga masing-masing, pelakon Sarimah Ibrahim memilih untuk mendapatkan restu pihak yang berkaitan jika dia digandingkan dengan mana-mana pelakon lelaki.

Justeru, demi menjayakan watak isteri kepada Datuk Azman (karakter yang dibawa Zamarul Hisham) dalam drama bersiri Ternyata Sebuah Bahagia, Sarimah pantas menghubungi isteri aktor itu, Diana Rafar.

“Sebelum mula penggambaran, saya hubungi Diana Rafar untuk minta izin terlebih dulu. Pada saya, hal itu sangat penting kerana itulah adab.

“Apabila dia OK dan suami saya juga OK, barulah kami dapat bekerja dengan tenang dan bebas menjayakan watak itu dengan baik,” katanya.

Dengan isu hangat membabitkan artis tanah air bercerai-berai, penyanyi lagu Kini Kau Tiada itu menegaskan memang perlu untuk seserang pelakon yang sudah berumah tangga menjaga batas masing-masing di sepanjang proses penggambaran.

Pada masa sama di sebalik kekangan itu, Sarimah, 45, tetap meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap Zamarul untuk mencipta keserasian secara semula jadi kerana enggan terpalit sebarang isu selepas berakhirnya penggambaran.

“Pelakon patut buat begitu kerana mereka sudah tahu dan kita pun perlu jaga batas supaya tidak melampau.

“Saya juga cakap pada Zamarul yang kami perlu buat yang terbaik. Walaupun drama ini banyak babak yang bersentuhan, pergi kelab dan sebagainya kami tetap pastikan ada batas.

“Bahaya kalau tiada batas. Setiap perasaan dalam drama itu hanyalah rekaan semata dan ia berakhir di lokasi,” katanya pada sidang media tayangan drama berkenaan di sebuah kompleks di ibu negara semalam.

Sarimah malah mengakui senang bekerjasama dengan Zamarul melalui drama bersiri arahan Nur Ain Sharif itu serta menyifatkan pelakon terbabit seorang yang profesional.

“Saya juga bersyukur selalu digandingkan dengan hero yang hebat.

“Sewaktu hari pertama penggambaran, kami hanya saling memandang antara satu sama lain sudah boleh menangis.

“Mungkin disebabkan kematangan yang kami ada berdasarkan pengalaman hidup yang kami ada. Jadi, kami tahu apa yang kami perlukan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS