Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pekin nafi permainkan nama Hadi, Nik Aziz
Diterbitkan:  Sep 23, 2024 2:06 PM
Dikemaskini: 6:06 AM

Pelakon dan pengarah, Pekin Ibrahim, menjelaskan dia tidak berniat menjadi biadab apabila menyentuh nama dua tokoh yang sangat dikenali dalam PAS melalui media sosial baru-baru ini.

Sebaliknya bagi Pekin, individu yang membuat fitnah - dan menyimpang daripada apa yang dimaksudkannya dalam hantaran tersebut - lebih layak dianggap menghina tokoh berkenaan.

Menjelaskan asal-muasal isu tersebut, Pekin berkata dia tertarik pada satu komen yang dimuat naik dalam hantarannya di TikTok berkenaan barang yang dijualnya.

Komen tersebut menyebut secara sinis: "Jangan Hadi Awang-kan kami bang" merujuk kepada presiden PAS ketika ini.

“Aku faham tukang komen itu adalah seorang yang matang dan bukan budak-budak. Dia menggunakan kata ganti bual Hadi Awang.

"Bagi dia, Hadi Awang itu (mungkin) tidak betul atau apa, aku tidak pasti, namun maksud komen itu adalah jangan tipu kami.

“Aku pun balas komen dengan gunakan nama Nik Aziz (Nik Mat). Aku orang Kelantan, tentu nak guna nama Nik Aziz. Allahyarham seorang ulama yang baik dan sebati dengan orang Kelantan.

“Tiba-tiba ada saudara kita ini yang juga pencipta kandungan di YouTube ambil komen itu kemudian jadikan hantaran di TikTok dan Facebook tanpa dia faham maksud aku, dan ia tular. Mereka (netizen) kata aku permainkan nama Tok Guru," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut Pekin berkata dia sebenarnya tidak perlukan sebarang perhatian daripada orang ramai namun kontroversi yang tercipta itu sebaliknya menjadikan dia "popular" tanpa dirancang.

Tuduh tak ada adab

Pada masa sama, Pekin berkata, orang yang menularkan komen dia itulah yang mahu perhatian kerana tindakan tersebut mengundang lebih ramai orang ke akaun media sosialnya.

"Sebab kalau ambil perkara begini buat kandungan, lebih tak ada adab, nak perhatianlah,” katanya.

Menurut Pekin, 42, dia hanya membalas komen individu yang memetik nama Abdul Hadi itu secara santai malah langsung tiada niat untuk tidak menghormati Nik Aziz yang lebih mesra disapa Tok Guru itu.

Kata pengarah filem KL Wangan itu, sebagai anak jati Kelantan, sudah tentu dia amat menghormati Nik Aziz yang meang disanjung ramai atas keperibadian dan ilmunya.

“Aku pergi di Facebook pencipta kandungan terbabit dan cuba jelaskan maksud aku, tapi jawapan dia sama, jadi aku habis di situ, sudah jalankan tanggungjawab jelas kebenaran.

“Dia kemudian buat lagi satu hantaran menuduh aku tiada adab kerana orang sudah meninggal dunia tak disebut Tok Guru tapi Nik Aziz saja," katanya.

Pekin mendakwa biasanya dalam perbualan santai nama bekas menteri besar Kelantan itu akan disebut dalam dua bentuk saja iaitu sama ada Tok Guru atau Nik Aziz.

"Kalau aku pakai Tok Guru, jika orang yang bertanya bukan dari Kelantan, mungkin dia takkan faham,” katanya.

Terdahulu Pekin memuat naik hantaran menjual aksesori peralatan kereta sebelum seorang netizen meninggalkan komen dengan memetik nama Abdul Hadi.

Ia kemudian turut menarik perhatian pengguna media sosial lain selepas Pekin membalas komen terbabit dengan memetik nama Nik Aziz.

Netizen antaranya tidak berpuas hati kerana menganggap Pekin menjadikan Nik Aziz sebagai bahan jenaka.

Menurut Pekin, dia tidak terkilan dengan kecaman ditinggalkan netizen terhadapnya kerana sebagai seorang anak seni, dia sudah lali dengan keadaan sebegitu.

Suami kepada aktres Mona Allen itu juga menegaskan, dirinya bukanlah seorang yang tidak boleh menerima teguran.

Malah menurut Pekin, dia sentiasa mengalu-alukan sekiranya teguran diberikan dengan cara yang baik dan membina.

“Saya sudah berpuluh tahun dalam industri, kecaman atau apa saja sudah lali, tapi saya tidak salahkan netizen kerana mereka tidak faham situasi dan membaca daripada satu sumber saja iaitu daripada hantaran saudara yang sememangnya salah.

“Jika saya salah, tegur dengan baik atau melalui DM (Direct Message).

“Saya juga dengan rendah hati akan minta maaf. Saya sedar khilaf saya, buktinya ada di TikTok saya terima teguran dengan baik," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS