Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tersenarai kempen Blockout2024, Nadhir Nasar mohon maaf
Diterbitkan:  May 14, 2024 8:30 AM
Dikemaskini: 12:30 AM

Ketika ancaman gerakan untuk memboikot artis tempatan muncul, pelakon dan pengarah muda, Nadhir Nasar tampil memohon maaf selepas dituduh mempromosi beberapa jenama yang menyokong Israel.

Katanya, dia tidak dapat menghentikan kerjasama dengan jenama mewah tersebut serta-merta kerana ia bukan saja memberi impak negatif dari segi karier bahkan boleh berdepan tindakan undang-undang.

“Maaf atas kekhilafan saya dan rakan artis yang lain. Netizen mempunyai hak untuk bersuara dan impak tersebut sangat besar, percayalah.

“Walaupun saya memahami dan menghormati kebimbangan yang dikemukakan, adalah penting untuk saya teruskan komitmen kontrak saya dengan mereka.

“Usaha menamatkan kontrak sebelum tamat tarikh kontrak akan memberi impak seperti denda, penalti wang dan potensi dikenakan tindakan undang-undang.

“Perkara ini bukan sahaja memberi kesan kepada diri saya malah orang lain yang terlibat dalam kolaborasi berkenaan,” katanya melalui ciapan di aplikasi X.

Nadhir membuat penjelasan itu selepas seorang individu meminta respons terhadap tindakannya yang dianggap tidak sensitif dengan nasib Gaza kerana mempromosikan beberapa jenama antarabangsa yang didakwa menyokong Israel di media sosialnya.

Pada masa sama, sejak penganjuran MetGala minggu lalu, muncul gerakan Blockout2024 bagi memboikot selebriti di seluruh dunia yang masih menjalinkan kerjasama dengan produk yang menyokong kekejaman Zionis.

Antara nama selebriti yang diboikot adalah Taylor Swift, Kim Kardashian, Blackpink, Lady Gaga dan Justin Bieber.

Kempen yang sudah tersebar ke negara ini mula menyaksikan netizen Malaysia tidak mahu ketinggalan daripada turut serta dan menyenaraikan beberapa nama selebriti tempatan untuk diboikot.

Jelas Nadhir, 27, keputusan untuk bekerjasama bukan dibuat pada tahun ini.

Malah katanya, ia juga dibuat ketika itu berdasarkan komitmen ikhlas untuk memupuk kreativiti dan menyokong artis seperti dirinya.

Justeru, pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu berjanji untuk menangani hal dibangkitkan peminat dengan lebih berhati-hati selepas ini.

“Saya memahami kebimbangan yang dibangkit dan saya memahami awak kecewa, sama seperti saya dan rakan-rakan selebriti yang lain atas apa yang sedang berlaku.

“Saya percaya bukan saya saja, malah rakan artis yang lain juga sudah berusaha.

“Saya juga akan terus berkongsi kepada komuniti dan menggunakan platform media sosial saya untuk mempromosikan perkara yang positif,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS