Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ahmad Idham lemas berdepan sentimen cepat menghukum

Sikap sesetengah pihak yang begitu pantas menghukum "melemaskan" Ahmad Idham dan mendorong dia tidak teragak-agak menolak tawaran mengarahkan filem Jangan Pandang Belakang 2.

Menurut Ahmad Idham, ada pihak yang mempertikaikan sama ada dia masih relevan atau tidak untuk menjadi pengarah hanya kerana usianya yang semakin bertambah.

“Nak buat kemunculan semula selepas lima tahun bukannya mudah. Ketika itu pula, hasil kutipan filem Anak Perjanjian Syaitan 2 yang diarahkan belum keluar lagi.

“Tapi saya dah mula dapat komen: bolehkah orang tua ini mengarah, adakah dia masih relevan dan pelbagai lagi. Industri kita ini terlalu suka menghukum,” katanya.

Bagi Ahmad Idham, 50, seseorang pengarah sudah tentu mempunyai banyak pengalaman sekiranya bergiat lama dalam industri berkenaan.

Menurutnya, begitu juga dengan jumlah pendapatan mereka yang semakin berusia seharusnya wajar mengikut berapa lama pengalaman mereka berada dalam industri.

“Ini macam kes Azlee Senario, takkan dia yang sudah lama dalam industri tapi nak bagi dia gaji macam dia orang baru?

“Jadi, saya lemas dengan sentimen begitu yang suka menghukum sebelum nampak hasil, sedangkan kita ini sebenarnya lagi lama, lagi berpengalaman.

“Alhamdulillah filem Anak Perjanjian Syaitan 2 berjaya mencapai kutipan pecah panggung, sekali gus ia membuktikan saya boleh berada sebaris dengan pengarah muda ketika ini,” katanya ketika ditemui pada Jamuan Aidilfitri Yayasan Koreksional Malaysia di Kajang baru-baru ini.

Tak nak ambil risiko

Untuk rekod, Jangan Pandang Belakang 2 diarahkan oleh Pierre Andre. Pierre pernah menghasilkan skrip Jangan Pandang Belakang pada 2007 yang kemudian diolah oleh Ahmad Idham.

Namun, Ahmad Idham tidak menolak tanggapan bahawa budaya kerja dengan Metrowealth International Group (MIG) yang dirasakan tidak sesuai turut melunturkan keinginannya untuk meneruskan projek tersebut.

Dia juga menegaskan tidak terkilan sama sekali kerana lebih menitikberatkan mutu kerja yang tinggi untuk kemunculan semulanya dalam industri selepas lima tahun tiada buah tangan baru.

“Budaya kerja dengan pihak penerbit tidak berapa best pun membuatkan saya tarik diri. Tapi saya dan David Teo (bos MIG) tak ada apa-apa isu. Kami profesional.

"Jika ada isu tidak kena, lebih baik saya tarik diri awal-awal.

“Saya tidak mahu ambil risiko kerana ini boleh jejaskan hasil kerja untuk Jangan Pandang Belakang 2.

“Jika tidak boleh angkat (hasilkan) sebaik filem pertama, lebih baik saya tak payah buat. Rosak nama nanti.

"Kita dahlah susah nak buat come back, susah nak naik, nanti jatuh pula senang,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS