Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Tolonglah janganlah keluar rumah dengan semberono. Cubalah untuk tidak menjadi 'dajjal' yang menjelmakan diri sebagai makhluk pembawa binasa sebelum Dajjal sebenar muncul.

Bertenggek di tepi meja makan atau mencangkung tepi dulang penuh makanan sambil menggelakkan orang lain yang berkurung adalah salah satu sifat dajjal.

Tidak sukar barangkali untuk kita semua memahami mengapa ada sebahagian besar orang yang sombong dan payah benar mahu memahami makna menjadi manusia.

Tiba-tiba saja apa yang pernah kita lihat dalam filem Contagion dan World War Z, atau kisah-kisah yang pernah kita baca dari novel The Stand dan The Plague menjadi deja vu yang kini seolah-olah ada di depan mata.

Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan kerajaan bagi membendung penularan Covid-19 itu setakat ini macam sengaja tidak mahu diendahkan.

Seperti kata Menteri Pertahanan hanya 60 peratus sahaja rakyat yang mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang telah dikuat kuasa.

Memang kita tahu kita ini bangsa yang mudah mengabaikan seni, sastera dan budaya. Sehingga pada suatu ketika, kita jadi runsing apabila tidak lagi bahagia jadi Melayu, Cina atau India yang hidup bersama-sama memajukan Malaysia yang kita perakukan sebagai negara kita.

Jadi bangsa tuli

Tidak ada siapa dapat menafikan usia 63 tahun kemerdekaan itu telah menghilangkan banyak perkara. Antaranya ialah semangat akal budi kita untuk hidup bersama sambil berkongsi rezeki tanpa mengira latar kaum dan bangsa.

Malah adalah sesuatu yang amat gila dan hina apabila muncul suara-suara kera yang mengaitkan wabak Corona-19 yang sedang kita perangi ini adalah bawaan, hak milik dan angkara Cina dan China.

Perkara ini kemudian diterukkan pula oleh 'ustad' yang sembarangan membacakan firman tuhan dan hadis nabi secara luar otak. Mereka dengan selamba membutakan nas ketentuan dan memesongkan dalil takdir yang mereka petik sehingga menjadikan akal manusia tidak lebih daripada seketul tunggul kayu.

Semua itu hanyalah bahagian kecil daripada masalah lebih besar yang kita ada. Segalanya berpunca daripada pengabaian bertahun-tahun akan seni, sastera dan budaya. Sampaikan ramai rakyat Malaysia yang menjadi bodoh sombong tak reti bahasa.

Kita jadi bangsa yang gagal memahami dan menyusun keutamaan. Kerana itu ramai antara kita yang menjadikan agama sebagai hujah secara bebal. Meyakini tuhan akan melindungi kita daripada virus tanpa perlu berusaha apa-apa, misalnya.

Bertahun-tahun kita menjadi bangsa Malaysia yang tuli dan tak mempedulikan apa itu Rukun Negara. Kejahilan itu turut dikongsi oleh ahli politik yang sibuk gila merampas kuasa dan menyurun gerak ketika rakyat sedang diancam bahaya.

Maka jadilah mereka para menteri yang tak reti mengurus krisis dan konflik manusia. Kerana 'kepakaran' mereka hanya pada politik dan parti mereka.

Kemudian mereka pun meletakkan segala beban tanggungjawab kepada pegawai kerajaan seperti Majlis Keselamatan Negara atau Ketua Setiausaha Negara.

Ini diterukkan lagi dengan menteri baru yang menjaga hal-ehwal komunikasi dan multimedia apabila dia gagal merencanakan pelan penerangan yang sewajarnya bagi mencapai matlamat perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan.

Mungkin hal itu berlaku kerana, yang sedang didepani rakyat ini adalah gerakan untuk menyelamatkan nyawa marhaen dan ia sama sekali berbeza darjat dan keutamaannya berbanding Langkah Sheraton yang mencari jalan masuk ke Putrajaya.

Selain sains, seni, sastera dan budaya juga besar baktinya dalam menyumbang jasa untuk peradaban dan tamadun manusia.

Ajak jangan takut virus

Kemajuan linguistik serta kemunculan pelbagai karya hebat yang membentuk pemikiran - termasuk ribuan arca, lukisan, muzik, tarian dan sebagainya - sering jadi simbol besar betapa kuatnya kesejagatan sesebuah tradisi, budaya yang memegang kekuatan semangat hidup manusia.

Ilmu kemanusian yang ada dalam seni, sastera dan budaya inilah yang sering diabaikan oleh politikus serta penguasa.

Kepercayaan bahawa seni, sastera dan budaya hanyalah hiburan semata-mata hanya menbentuk masyarakat yang buta. Ada yang dapat kita pelajari daripada seni filem seperti Contagion dan World War Z.

Ketinggian ilmu sastera pula dapat kita ambil - misalnya - dari novel The Stand karya Stephen King dan The Plague karya Albert Camus. Beberapa nama dan judul tadi hanyalah contoh kecil sahaja.

Hari ini di tengah ruang tamu luas rumah banglo di Damansara Height atau Taman Tun Dr Ismail misalnya, kita boleh menonton kesombongan seorang doktor meninggi diri nak berjonging di taman sambil mengingkari tugas polis yang mahu menyelamatkan dia daripada bahaya.

Hari ini di tengah ruang selesa dapur rumah yang selama ini tak pernah ketiadaan beras, atau kekurangan garam dan gula, kita boleh menonton kebodohan sesetengah guru agama mengajak manusia mementingkan diri sendiri dengan alasan jangan takut kepada virus.

Hari ini di tengah ruang indah dilengkapi penyaman udara di bilik tidur, kita dapat menyaksikan betapa bebalnya sesetengah orang yang kita panggil jenis tak reti bahasa.

Keresahan kita pada wabak Covid-19 bertukar menjadi marah apabila melihat ada sebahagian masyarakat seolah-olah terlalu bebal kerana mengingkari segala nasihat yang diberikan pihak berwajib.

Tidak sukar untuk kita semua memahami mengapa semua kebodohan dan kesombongan ini berlaku dengan meluas. Jawabannya ialah, kerana selama ini kita mengabaikan ilmu seni, sastera dan budaya.

Dan kita tidak menyedari kesilapan itu walaupun selepas melihat bagaimana ramainya manusia gagal memahami kemanusiaan.

Jadi sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan ini, gunakanlah masa yang ada untuk membaca, menonton filem, sambil mendengar muzik, menikmati tarian dan nyanyian.

Kerana dengan seni, sastera dan budaya itu kita boleh memandaikan bangsa.


HARIS HAUZAH seorang penulis yang tidak pernah menghasilkan apa-apa buku, juga penulis lakon layar yang mati akal dan keputusan asa untuk berjaya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS