Hampir 160,000 peminat menandatangani petisyen bagi menggesa pelakon Amber Heard disingkirkan daripada filem Aquaman 2 selepas dia "mengaku" memukul bekas suaminya, Johnny Depp.
Hal itu didedahkan dalam sebuah rakaman audio yang dibocorkan baru-baru ini.
Pencipta petisyen tersebut, Jeanne Larson berkata, disebabkan Amber dikenali dan terbukti melakukan penderaan domestik, Warner Brothers dan DC Entertainment wajar memecat wanita terbabit daripada projek Aquaman 2.
"Mereka tidak boleh mengabaikan penderitaan mangsa Amber dan tidak boleh mempopularkan pendera domestik.
"Lelaki juga mangsa penderaan domestik, sama seperti wanita. Ini harus diakui, dan tindakan harus diambil bagi mengelakkan pendera diraikan dalam industri hiburan," katanya.
Amber, 33, berdepan tindakan undang-undang dari Depp, 56, selepas bintang Pirates of the Caribbean itu memfailkan saman fitnah tahun lalu untuk menuntut AS$50 juta (206 juta) kerana mendakwa didera sepanjang 18 bulan perkahwinan mereka.
Pasangan terbabit berkahwin pada 3 February 2015 tetapi berpisah kurang dua tahun kemudian apabila Amber mendapatkan perintah sekatan terhadap Depp selepas dituduh membaling telefon bimbit ke mukanya sewaktu di kediaman mereka di Los Angeles.
Pada awalnya, mereka bersetuju menyelesaikan penceraian dengan bayaran AS$7 (RM28.8 juta) pada Ogos 2016.
Depp mendakwa Amber berulang kali menyerangnya selain mencederakan salah satu jarinya apabila dia membaling sebuah botol vodka.
Amber bertindak balas terhadap tuntutan undang-undang dengan memfailkan 300 muka surat yang memperincikan penderaan dilakukan Deep yang dikatakan "mengerikan".
Pada 2 Februari lalu, Daily Mail mendedahkan beberapa siri audio yang dirakam melalui telefon bimbit Amber pada 2015 sewaktu pasangan terbabit cuba menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka - yang dilihat satu kelebihan pada Depp.
Sewaktu perbualan tersebut, Amber mengaku “memukul” Depp dalam satu pertengkaran yang berlaku pada malam sebelum itu selain mengejeknya sebagai “budak-budak”.
Aktres terbabit juga memberi amaran kepada Depp bahawa dia tidak berjanji tidak akan menyerang secara fizikal lagi.
“Kamu tak ditumbuk. Kamu dipukul. Maaf saya pukul kamu begini. Tapi saya tak tumbuk kamu. Saya tak tahu bagaimana aksi sebenar tangan saya, tapi kamu baik-baik saja. “Saya tak cederakan kamu, saya tak tumbuk kamu, saya pukul kamu,” katanya.
Sementara itu, seorang jurucakap Amber mendakwa Depp sengaja membocorkan rakaman terbabit.
“Sepanjang rakaman yang Depp dedahkan pada media, Amber berulang-kali mententeramkannya, mengabaikan tuduhannya dan memaksa dia mengaku apa sedang berlaku dalam hubungan mereka,” katanya.