Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Kerajaan disaran menubuhkan satu badan tunggal bagi memantau serta menangani hal-hal berkaitan bidang seni di negara ini.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) Datuk Freddie Fernandez berkata badan berbentuk majlis kesenian itu perlu menggabungkan semua bidang seni yang ada, termasuk muzik, teater, penulisan dan seni halus.

“Jika sebelum ini kita ada pelbagai persatuan yang menjaga hal ehwal bidang tertentu, ia mengakibatkan tiada penyelarasan yang baik dan menyeluruh.

“Justeru, lebih baik kita kumpulkan kesemuanya dan diletakkan di bawah majlis kesenian yang dicadangkan ini bagi membangunkan industri secara terancang dan berkesan,” katanya kepada Malaysiakini.

Freddie sebelum itu bertemu Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, Kuala Lumpur.

Majlis Penasihat Kerajaan ialah badan yang ditubuhkan khas oleh kerajaan Pakatan Harapan bagi mengumpul maklumat serta cadangan untuk Putrajaya.

Seramai lima pakar terpilih menganggotai majlis berkenaan iaitu bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; bekas Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Merican; tokoh korporat, Tan Sri Robert Kuok dan ahli ekonomi terkemuka, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram.

Bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin pula dilantik menjadi pengerusi majlis tersebut.

Seni budaya berkembang

Majlis itu akan berfungsi sebagai penasihat kerajaan untuk tempoh 100 hari saja.

Menurut Freddie, hasil pertemuan yang diadakan selama kira-kira 30 minit itu tadi Majlis Penasihat Kerajaan menunjukkan reaksi positif.

Kata Freddie apa yang berlaku hari ini adalah berita baik buat semua artis tanah air.

“Bagaimanapun, kita harus memberikan kerajaan sedikit masa kerana banyak perkara lain perlu diteliti satu demi satu,” katanya.

Menurut Freddie, sekiranya cadangan KARYAWAN menjadi kenyataan, majlis kesenian itu mampu menjana pembangunan bidang seni dan budaya negara.

“Bagi memajukan industri, kita boleh adakan pelbagai aktiviti, antaranya menyalurkan dana bagi mengurus sesuatu festival, mempromosi pertandingan mencungkil bakat baru selain menjaga kebajikan dan kepentingan penggiat seni supaya ia dilindungi dengan baik,” katanya.

Lihat Komen
ADS