Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Siti harap ada badan khusus untuk penggiat seni

Selepas menyambut baik kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin berharap kerajaan tidak ketinggalan untuk memberi perhatian kepada perkembangan penggiat seni tanah air.

Kata penyanyi tersohor negara itu, kerajaan wajar mempertimbangkan penubuhan sebuah pusat sehenti atau badan baru untuk memberi tumpuan khusus kepada industri seni negara.

“Saya berharap kerajaan menyediakan sebuah pusat bagi memudahkan anak-anak seni - tidak kira dari apa latar termasuk penyanyi, pelukis atau pelakon - untuk memudahkan mereka berkumpul dan berkarya," katanya.

Penyanyi lagu Kesilapanku, Keegoanmu itu berkata kebanyakan anak seni di negara ini cuma bekerja sendiri dan memerlukan badan khusus bagi memantau aktiviti dan perkembangan mereka.

“Selain itu, pusat berkenaan juga boleh berfungsi sebagai rujukan tunggal kami untuk menyuarakan sebarang masalah berbangkit serta memikirkan jalan penyelesaian,” katanya.

Siti Nurhaliza, 39, ditemui pada majlis berbuka puasa Skuad Selebriti Shopee, di Kuala Lumpur malam tadi.

Terdahulu, sebagai usahawanita, Siti Nurhaliza meluahkan perasaan gembira selepas tiada lagi GST (cukai barang dan perkhidmatan) dalam proses jual beli selepas HARAPAN memenangi majoriti mudah di parlimen untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baru.

Sedia beri nasihat

HARAPAN mengetepikan BN yang memerintah lebih 60 tahun dalam PRU-14 pada 9 Mei lalu, sekali gus menjanjikan bersama membawa perubahan kepada dasar dan pelaksanaan dalam negara.

Dalam pada itu, andai impiannya terlaksana, penyanyi lagu Comel Pipi Merah itu juga menganggap bantuan kerajaan sebagai satu sumbangan yang besar kepada bidang seni kreatif.

Bagaimanapun, dari segi kepimpinan, kata Siti Nurhaliza dia sebolehnya ingin melihat kerusi itu tidak dipegang oleh orang yang mempunyai kepentingan politik, sebaliknya dijawat penggiat industri yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang berkenaan.


Baca 'Pi hantaq kat Palestin baguih'


Namun, apabila diajukan mengenai jawatan tertentu dalam mana-mana badan, Siti Nurhaliza menolak untuk menggalas tugas berkenaan kerana kekangan tanggungjawab sedia ada.

Dia sebaliknya menyatakan kesediaannya untuk membawa peranan sebagai penasihat sekiranya khidmatnya diperlukan.

“Saya setuju jika tiada orang berkepentingan politik dipilih bagi mengisi kedudukan sebagai pemimpin penggiat seni.

“Jika ingin mendapatkan nasihat, saya tiada masalah tetapi bukan menduduki mana-mana jawatan penting dalam badan kerana saya tidak mahu terikat dengan komitmen seperti itu,” katanya.

Lihat Komen
ADS