Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Bekas isteri kedua pelakon Adi Putra dihadapkan ke Mahkamah Masjistret Seremban hari ini atas pertuduhan melanggar syarat sebagai orang pengawasan polis.

Norshahida Zolkifly, 34, yang juga bekas pegawai Jabatan Imigresen Malaysia bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Fitriza Ab Latif.

Mengikut pertuduhan, Norshahida didakwa melanggar syarat sebagai orang pengawasan polis dengan meninggalkan kawasan pekan Nilai tanpa kebenaran.

Kesalahan itu dilakukan pada 6 Julai lalu kira-kira pukul 3 petang di Silka Maytower Hotel dan Serviced Residences Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(4) Akta Pencegahan Jenayah 1959 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan tidak melebihi 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Soo Kok Weng manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh mematuhi perintah pengawasan sedia ada.

Majistret menetapkan 14 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS