Penyanyi kebanggaan Indonesia, Krisdayanti berjanji akan memberikan persembahan terbaik pada Konsert Romansa Krisdayati yang akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya dari 24 hingga 26 Februari tahun depan.
Penyanyi yang dicungkil bakat menerusi pertandingan Asia Bagus pada tahun 1992 itu berkata dia akan tampil dengan khidmat pemuzik Malaysia sepenuhnya pada konsert selama tiga malam berturut-turut itu.
"Konsert ini adalah sesuatu yang luar biasa dan teramat istimewa khususnya buat peminat muzik saya sejak mencipta nama di Malaysia pada tahun 1998 menerusi lagu Menghitung Hari.
"Saya juga menjanjikan sebuah persembahan yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini dengan menampilkan karyawan muzik sepenuhnya dari Malaysia untuk bekerjasama dalam konsert ini. Ia begitu tersendiri, magis dan indah buat peminat saya nanti," katanya seperti dilapor BH Online.
Berlangsung selama tiga jam, Krisdayanti yang mesra disapa KD bakal membawakan lebih 25 lagu popular nyanyiannya sepanjang lebih dua dekad.
Antara lagu yang dipersembahkan termasuk Menghitung Hari, Hati Ini Telah Dilukai, Mencintaimu, Aku Wanita Biasa, Cinta dan Pilihlah Aku.
Konsert itu menampilkan Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik.
Menerusi konsert yang dibawakan oleh Neo Global Sdn Bhd dan Belbis Sdn Bhd ini, Krisdayanti turut mengundang beberapa bintang ternama Malaysia untuk turut sama memeriahkan konsert eksklusif itu.
Tiket untuk menyaksikan konsert itu dijual pada harga RM118, RM258, RM358, RM458 dan RM588 menerusi www.myticket.asia dan laman Facebook rasmi penganjur di NeoBel Indulgence Series. Nikmati diskaun 10 peratus untuk pembelian awal sebelum 15 November ini.