KOLUM | Seingat saya rakyat biasa kurang mengambil cakna atau tidak pun mempedulikan berita keberangkatan Raja-raja Melayu ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja. Begitulah selalunya.

Akan tetapi nampaknya Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-273 di Istana Negara yang dipengerusikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, kali ini mendapat perhatian sedikit lebih.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah; dan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Berangkat sama ialah Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail; Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra; dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir – yang diketahui tegas membanteras rasuah dan menitikberatkan integriti – memilih untuk tidak hadir bagi menguruskan beberapa hal di negerinya.

Sebetulnya kedudukan seorang raja sangatlah penting dan bermakna dalam kehidupan harian orang Melayu. Punca kuasa dan pelindung hal ehwal dan urusan agama Islam serta adat budaya orang Melayu ini terletak di tangan raja-raja Melayu.

Hal itu kerana mereka diberi kuasa untuk memelihara adat istiadat orang Melayu dan pentadbiran Islam di negeri masing-masing. Yang di-Pertuan Agong pula menjadi ketua Islam bagi Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.

Dalam erti kata lain, identiti Melayu itu ialah agama Islam dan adat budayanya; dengan raja-raja Melayu sebagai penguasa serta pelindung. Kedudukan landskap orang Melayu di atas – urusan agama, adat budaya dan politik ketuanan Melayu – sebetulnya banyak dicorakkan oleh tiga gejala besar.

Patuhi lunas-lunas yang ada

Pertamanya, kesan kolonialisme Barat mengakibatkan berlakunya westernisasi dalam kalangan orang Melayu. Ia menjadi sasaran kritikan cendekiawan dan pemikir Melayu.

Dalam keadaan tertentu, seperti diperikan oleh Pak Sako dalam novel terkenalnya Putera Gunung Tahan, kaum kerabat raja juga kadang-kadang dipandang sebagai anglophile.

Ekoran itu tentulah serba sedikit imej raja-raja Melayu sebagai cultural atau religious authority tercemar dan dipertikaikan. Netizen memerhatikan kerabat yang mana misalnya kaki masjid, dan yang mana pula kaki parti.

Kita pula berada di era yang sukar untuk melakukan tapisan dek perkembangan teknologi digital.

Selain daripada gejala yang disebut di atas, kehadiran kuasa Barat juga mengubah kedudukan raja-raja Melayu sekali gus aspek adat dan budaya Melayu yang sangat feudalistik serta berakar kepada daulat raja-raja.

Sebagai contoh, ketika Inggeris bertapak di Tanah Melayu, mereka memperkenalkan sistem Residen (pascatahun 1874), menjadikan kuasa pentadbiran dan kutipan cukai beralih daripada sultan serta pembesar kepada pegawai British (Residen).

Pada masa sama kuasa sultan dikecilkan dengan hanya mentadbir dan menentukan hal ehwal Islam dan adat istiadat Melayu.

Keadaan itu meresahkan orang Melayu dan kelak akan menjadi aspek pergeseran dengan parti-parti politik Melayu pascakemerdekaan. Inggeris juga memperkenalkan institusi Durbar (1896) yang mengambil inspirasi daripada model di India bagi membolehkan raja-Raja Melayu berunding dengan pihak British.

Ia kemudian berkembang menjadi Majlis Raja-Raja selepas kemerdekaan Malaysia.

Kemerdekaan dan penubuhan Malaysia juga mengakibatkan struktur pentadbiran tradisional yang berasaskan daulat mutlak diserap ke dalam kerangka birokrasi moden Barat dan akhirnya dimaktubkan melalui Perlembagaan Persekutuan.

Seorang raja atau sultan kini perlu bertindak mengikut perlembagaan dan ada lunas-lunas tertentu yang mesti dipatuhi.

Keduanya, pengalaman rakyat Malaysia dengan raja-raja Melayu ikut melibatkan mereka yang bukan Melayu. Penjajahan British di Tanah Melayu turut membawa sama kemasukan buruh asing dari China dan India.

Yang rugi tetap rakyat jelata

Dalam rundingan kemerdekaan Malaysia, British menetapkan syarat bahawa kemerdekaan Tanah Melayu hanya akan diberikan jika isu kewarganegaraan kaum imigran diselesaikan.

Menerusi siri tawar-menawar, rundingan dan muafakat, raja-raja Melayu serta pemimpin Melayu akhirnya bersetuju menerima jus soli, tetapi ia diimbangi dengan syarat-syarat penting, iaitu bangsa Melayu diberi kedudukan istimewa, dan mereka yang bukan Melayu akan mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu serta bumiputera tersebut.

Satu lagi impak daripada kemerdekaan Tanah Melayu ialah institusi raja-raja Melayu terus dipelihara melalui sistem raja berperlembagaan.

Ekoran itu juga, Islam misalnya menjadi satu komponen penting dalam cultural authority. Islam diterima sebagai agama rasmi persekutuan manakala bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan.

Sebarang gugatan ke atas aspek di atas boleh mengakibatkan ketegangan kaum dan agama, yang mujur selepas 1969 masih terkawal.

Dalam banyak keadaan kaum bukan Melayu tidak boleh dikesampingkan khususnya jika mereka adalah komuniti niaga. Perbalahan berpanjangan di Negeri Sembilan misalnya – iaitu di antara sesetengah pembesar adat yang tidak serik dan jemu didalangi ahli politik kanan – hanya menyebabkan urusan pentadbiran dan perdagangan terjejas.

Tindak tanduk Umno, Wawasan dan PAS selepas PRN yang mencari pasal dengan Tuanku Muhriz, misalnya, memburukkan keadaan.

Jika keadaan itu dibiarkan, ‘pemanipulasian sistem dengan tujuan untuk mendobrak sistem’ seperti berlaku di Negeri Sembilan itu boleh bertelur dan berkutu di negeri lain.

Kita rakyat biasa khuatir ada ahli politik boleh mengacum pihak tertentu, khususnya apabila terdapat perebutan atau penggiliran takhta. Yang rugi nanti ialah rakyat jelata.

Kiranya, itulah antara lain sebab minat rakyat biasa terhadap mesyuarat Majlis Raja-raja mendadak meningkat dengan tiba-tiba.

Ketiga, gelora kebangkitan Islam sejagat dalam era 1970-an membuka jalan kepada penerimaan fenomena Islam secara amat meluas, dan Malaysia menerima tempiasnya dengan mudah disebabkan faktor-faktor sedia ada yang sudah diketengahkan sebelumnya.

Kebangkitan Islam itu membolehkan NGO seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) atau gerakan al-Arqam misalnya menikmati sambutan hangat daripada masyarakat.

PAS, yang memperdaya jenama Islam sebagai sebuah parti politik juga diterima baik.

Tsunami konservatisme kian meningkat

Kebangkitan itu membuka jalan kepada perubahan terhadap hal-hal bersifat permukaan seperti busana wanita sehinggalah kepada yang lebih rinci dan mendalam seperti pngenalan sistem pendidikan Islam di sekolah mahupun di peringkat pengajian tinggi.

Justeru berlaku penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia atau pengenalan sistem perbankan Islam dan industri halal.

Semua itu disumbui asalnya oleh Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam yang diperkenalkan oleh Dr Mahathir Mohamad pada 1981, yang kita semua tahu tenaga belakangnya ialah Perdana Menteri Malaysia sekarang – Anwar Ibrahim.

Kebangkitan Islam juga meletakkan kelompok agamawan menjadi lebih dominan dan kini menyaingi autoriti raja-raja Melayu. Agamawan dalam sistem misalnya menggunakan instrumen fatwa untuk menunjukkan cengkaman pengaruh manakala kelompok ulama yang berada di luar sistem pula menunjukkan kesediaan untuk mencabar pengaruh raja-raja Melayu meskipun dilakukan dengan amat berhati-hati.

Hal itu nampak kecil tetapi sebenarnya boleh membengkak menjadi isu nasional. Saya difahamkan isu di Negeri Sembilan bermula dengan kesalahan adat dan syariah yang trivial iaitu melibatkan persoalan sembahyang Jumaat.

Dalam hal syarat bilangan jemaah untuk solat Jumaat, Mufti Negeri Sembilan, Faudzinaim Badaruddin, menegaskan bahawa ia memerlukan minimum 40 orang jemaah yang muktamad mengikut mazhab Syafie.

Ia dianggap tidak sah jika didirikan dengan jumlah yang kurang daripada itu atau di tempat yang tidak diizinkan.

Isu berkenaan timbul susulan tularnya surat mengenai status sembahyang Jumaat yang didirikan dengan jumlah jemaah kurang daripada 40 orang di Kediaman Rasmi Balai Undang Luak Sungei Ujong yang turut dihadiri bekas Undang Luak Sungei Ujong, Mubarak Dohak.

Ketidakpuasan hati itulah yang mungkin berkembang menjadi isu apabila Yamtuan Besar selaku ketua Islam di Negeri Sembilan dicabar dan ingin dimakzulkan.

Setakat ini tiada alasan jelas diberikan mengapa Tuanku Muhriz hendak diturunkan dari takhta. Selain dilihat sebagai antisakau dan antiperasuah sehingga mengundang rasa tidak tenang sesetengah politikus, tidak ada sebarang khabar untuk dibuktikan bahawa baginda suka berkendak.

Kembali kepada gejala ketiga iaitu kebangkitan Islam yang saya sebut di atas. Fenomena itu juga menyebabkan tsunami konservatisme yang memang ada dari awal menjadi kian memuncak.

Dan tanpa disangka membawa kepada ekstremisme umat yang sukar diimbangi oleh kuasa dan pengaruh raja-raja Melayu. Ekstremisme Melayu ini ada yang berselindung di sebalik kempen ketuanan Melayu, dan malangnya mudah menyamar.

Menelusuri semua itu tentulah kita memahami mengapa Mesyuarat Majlis Raja-raja bukanlah sesuatu yang sederhana. Seruan tokoh media A Kadir Jasin agar hal ehwal dalam atau luar Majlis Raja-raja ini diketengahkan untuk pengetahuan orang awam nampaknya sesuatu yang perlu diberi perhatian pada masa mendatang.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, merangkap anak buah dari suku Tiga Batu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.