Paling Popular
Terkini

KOLUM | Saya mula menulis di Malaysiakini pada pertengahan 2016 selepas kehilangan media asal yang menjadi tempat saya melontarkan pandangan sebelum ini, Harakah.

Saya menulis di media media PAS itu sejak 1995. Ketika itu Harakah sangat berpengaruh terutamanya ketika seluruh negara membawa dengan laungan reformasi.

Kemudian pada 2008, saya ditawarkan menjadi kolumnis di Harakah dan Siasah. Sebelum itu, saya menulis tanpa kolum dan dianggap sebagai penulis sambilan. Jika rajin, saya tulis dan hantar kepada editor.

Sewaktu menjadi kolumnis Harakah dan Siasah, saya dikehendaki menghantar satu artikel dalam seminggu sekali. Ada sedikit honorarium disediakan. Ketika itu tulisan saya lebih berkisar kepada pengalaman tinggal di United Kingdom.

Oleh kerana saya ke sana sebagai pendatang atau orang asing, banyak sudut pandangan yang berbeza dan menarik untuk dijadikan bahan penulisan.

Antaranya ialah mengenai bola sepak yang bukan sahaja menjadi industri budaya untuk menjana ekonomi bahkan dijadikan kursus akademik di universiti.

Begitu juga warga emas di sana yang gemar menghabiskan usia mereka bersosial di perpustakaan awam selain daripada di pub atau melancong.

Ilham bawah sedar

Keadaan geografi dan sosiobudaya yang berbeza juga menarik perhatian. Misalnya mengenai kehidupan penternak kambing biri-biri di Wales dan kehidupan gelandangan di negara maju.

Banyak idea untuk ditulis.

Menulis di akhbar yang sarat berita politik, saya sememangnya cuba mengelak menyentuh tentang politik.

Selepas saya kembali ke tanah air pada penghujung 2010, saya terus menulis dengan Harakah sehinggalah saya bermufarakah daripada parti yang saya sertai sejak 1986 itu.

Harakah menyediakan tempat kepada saya sebelum saya memegang jawatan dalam parti seperti ahli jawatankuasa PAS cawangan di kampung sendiri.

Harakah adalah universiti kedua saya.

Jawatan terakhir saya dalam PAS ialah Setiausaha PAS Perak dan ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Sebelum ditawarkan kolumnis di Malaysiakini, lebih 20 artikel saya disiarkan dalam portal tersebut. Kebanyakan artikel tersebut dikategorikan sebagai ulasan, seni & budaya dan juga berita.

Lebih 200 artikel saya disiarkan di Malaysiakini sepanjang lapan tahun ini. Sebahagian artikel itu saya himpunkan kepada tiga buah buku: Akar Bangsa: Budaya, Naratif dan Identiti (2017), Menang dan Terbuang: Demokrasi, Deep State, Darurat (2021) dan Amanah - Mekar Dalam Api (2023).

Ketiga-tiga buku itu diterbitkan oleh Ilham Books.

Artikel pertama saya di Malaysiakini berjudul Tak bertegur sapa kerana sekuntum bunga cina adalah idea daripada kejadian selepas saya tinggalkan parti berkenaan.

Ilham itu adalah suatu yang datang secara bawah sedar yang kemudian ditulis secara sedar untuk memberikan kesedaran kepada pembaca.

Bukan sekadar pengalaman pahit

Setelah sesuatu artikel itu siap ditulis dan disiarkan, maksud sesuatu artikel itu akan tertakluk kepada fikiran setiap pembaca. Tidak semua pembaca mempunyai pemahaman yang sama dengan keinginan mesej yang mahu disampaikan penulis.

Bahkan ada antara pembaca mempunyai tafsiran dan pemahaman yang jauh terpesong daripada motif asal penulis. Itulah yang disebutkan oleh Roland Barthes sebagai “the death of the author”.

Penulis biasanya bersikap selektif dan memberikan keutamaan tertentu daripada pengalamannya sebagai asas penulisan. Pengalaman hidup menjadi cetusan terkuat kepada ilham penulis.

Bakat, kemahiran, honorarium (jika ada) adalah perkara terkemudian dalam proses penulisan. Keutamaan dalam penulisan adalah falsafah yang mendasarinya.

Salah satu impian saya sekarang ialah menulis novel berdasarkan peristiwa di Hotel Sheraton.

Meskipun saya hanyalah watak sampingan tetapi saya tetap menjadi saksi hidup dalam beberapa episod penting dalam langkah tersebut.

Langkah Sheraton bukan sekadar pengalaman pahit untuk negara tetapi secara peribadi menyentuh kehidupan saya.

Ia melibatkan pengkhianatan, persaingan, kesetiaan, keberanian dan pengorbanan. Masing-masing mempunyai justifikasi dan wayang yang hendak ditayangkan.

Cerita kami tersingkir dalam PAS ada saya rakamkan dalam sebuah novel satira bertajuk Pembunuhan Di Tanah Perkebunan pada 2016. Ia disiapkan dalam keadaan tekanan dan kesakitan.

Pembaca agak beruntung kerana dapat merasai pengalaman pahit manis itu tanpa menanggung sebarang rasa seperti dialami penulisnya.

Jika saya menulis tentang PAS, tentu ada ada saja yang dikritik atau bersifat sinikal tentang parti tersebut. Jika memahami teori penulisan, hal tersebut adalah normal.

Diikat disiplin tertentu

Daripada lebih 200 artikel tersebut, cerita tentang PAS ada lebih kurang 70 sahaja. Bakinya saya menulis tentang sejarah, budaya, bahasa, politik semasa (termasuk Amanah-PH), tokoh, belasungkawa dan lain-lain.

Artikel pertama dalam kolum saya di Malaysiakini ialah mengenai Mat Indera. Ada hampir 10 artikel mengenai Mat Indera yang diterbitkan secara berasingan di laman tersebut.

Minat saya kepada Mat Indera bermula dari peristiwa ceramah Mohamad Sabu yang dijadikan berita oleh akhbar-akhbar tempatan dan kemudian menjadi kontroversi pada 2011.

Setahun selepas itu, buku saya berjudul Mat Indera - Pejuang Atau Petualang? diterbitkan al Jundi Recourses. Selepas itu, saya terus mencari bahan dan menulis tentang Mat Indera.

Sebahagiannya saya hantar kepada kolum saya di Malaysiakini.

Akhirnya saya buat keputusan untuk membuat kemas kini buku tersebut atas tajuk baru, Mat Indera - Antara Ideologi Dan Identiti pada 2023 dan diterbitkan oleh Gerakbudaya.

Proses penulisan saya bermula daripada pengalaman, penerokaan dan penyelidikan. Ia dimulai dengan khayalan dengan beberapa proses bawah sedar yang diikat dengan beberapa disiplin tertentu bagi memastikan tulisan itu mempunyai fakta.

Untuk mengelakkan daripada idea atau bahan itu hilang, saya catat terlebih dahulu di Facebook. Dari situ saya menerima komen dari kenalan dan juga anonymous.

Sesebuah artikel sebelum dihantar ke editor, ia sebenarnya dibaca berkali-kali oleh pengarang.

Ia mengalami beberapa kali pindaan dan pemurnian sehingga menjadi sebuah artikel yang layak dihantar kepada editor. Terakhir, editor akan menyunting dua tiga hari sebelum diterbitkan.

Sebuah karangan tidak semudah bersyarah atau berleter.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS