Mar 27, 2025 3PM
Hanya 3 jam perjalanan untuk merasai salji
Tempat peranginan bersalji seringkali menjadi pilihan untuk pelancong dari Malaysia. Yunnan yang terkenal dengan landskap yang menakjubkan, adalah destinasi terdekat untuk merasai tempat peranginan dingin dan bersalji. Yunnan juga kaya dengan kepelbagaian budaya dan ekosistem yang berbeza. Antara bandar yang popular dikalangan pelancong adalah Dali, Lijiang, Kunming dan Shang Ri La.
Lucky Air yang berpusat di China menawarkan penerbangan terus ke Dali dari Kuala Lumpur (KLIA). Lapangan terbang Dali baru sahaja dibuka untuk penerbangan antarabangsa dan Kinihalal serta MATA (Malaysia Tourism Agency Association) juga media lain, merupakan pelancong Malaysia yang pertama mendarat di lapangan terbang itu.
Penumpang dapat menikmati hidangan mesra muslim semasa penerbangan.
Perkampungan Muslim di Dali
Dali terkenal dengan dengan Bandar Lama Dali, yang mengekalkan seni bina tradisional. Ia juga terletak berdekatan dengan Tasik Erhai dan Gunung Cangshan, yang menjadikannya destinasi pelancongan yang popular.
Flomis Garden dan Tasik Erhai yang menjadi tumpuan pelancong.
Jika ke negara luar, kami tidak akan melepaskan peluang mencari masjid untuk melihat sendiri komuniti muslim di sana. Kami berkesempatan ke NanWuliqiao, kawasan yang didiami muslim etnik Hui, etnik muslim yang terbesar di Yunnan. Kebanyakan etnik Hui berasal dari campuran Han China dan Muslim.
Etnik Hui adalah keturunan pedagang Muslim yang tiba di China sejak Dinasti Tang dan berkembang pada Dinasti Yuan, dengan budaya mereka dipengaruhi oleh budaya Han.
Perkampungan Muslim Nanwuliqiao adalah contoh kehidupan Muslim di kawasan luar bandar di China, di mana mereka menjaga tradisi agama mereka sambil turut berintegrasi dengan budaya tempatan. Boleh dikatakan, kehidupan di perkampungan ini tenang dan masih mengekalkan tradisi pakaian, makanan dan perayaan.
Restoran ini menghidangkan menu tradisional yang menggunakan bahan-bahan segar tempatan, seperti ikan, herba, dan rempah-rempah khas dari kawasan tersebut.
Restoran di situ menghidangkan makanan halal yang berfokus pada daging lembu, daging kambing, mi halal, dan roti yang dipanggang. Kebanyakan bahan mentah di ternak sendiri muslim di situ. Mereka juga mempunyai pusat penyelembihan yang mengikut garis panduan Islam.
Kami tertarik dengan seni bina di sin.Seni bina biasanya dengan atap melengkung dan pagar batu yang mengelilingi rumah.
Masjid NanWuliqiao, hub keagamaan
Masjid ini memainkan peranan penting dalam penyebaran agama Islam di kawasan Dali terutamanya di kalangan generasi muda. Ia juga menjadi tempat untuk perayaan Hari Raya dan pusat untuk aktiviti kebudayaan bagi komuniti Muslim tempatan.
Tonton video masjid di sini
Selain sebagai tempat ibadah dan pendidikan agama, ia juga memainkan peranan penting dalam penyebaran kebajikan sosial seperti penyaluran zakat dan bantuan kepada yang memerlukan.
Masjid NanWuliqiao merupakan masjid terbesar di perkampungan Muslim Dali dan telah menjadi daya tarikan buat pelancong.
Pertama kali merasai salji
Lijiang merupakan bandar di Yunnan yang menerima banyak pengunjung. Jade Dragon Snow Mountain, adalah gunung di Lijiang yang dilitupi salji sepanjang tahun. Gunung ini merupakan tempat suci bagi etnik Naxi. Sewaktu tiba di kaki gunung, kami sudah terpesona dengan salji yang melitupi pokok dan jalan. Bukan sahaja dapat menikmati keindahan gunung ini, malah ada kafe di situ untuk para pengunjung.
Pengunjung dinasihatkan untuk berpakaian lengkap untuk berjalan di cuaca sejuk dan juga membawa bekalan oksigen sebelum menaiki kereta kabel untuk ke puncak. Setelah tiba di puncak, kami tidak melepaskan peluang memegang salji dan bergambar, sudah tentu ini pengalaman yang tidak dapat dilupakn bagi kami yang baru pertama kali merasai salji.
Nama "Jade Dragon" diambil dari bentuk gunung yang kelihatan seperti naga yang sedang meluncur, manakala salji yang menutupi puncaknya dianggap seperti permata jade yang berharga.
Selain gunung yang bersalji, Lijiang juga terkenal dengan Blue Moon Valley, di mana, boleh dilawati setelah turun dari puncak Glacier Park. Lembah ini terkenal dengan Blue Moon Lake yang airnya berwarna turquoise. Warna indah tasik ini berasal dari air yang kaya dengan mineral yang disalirkan oleh cairan salji dari gunung sekitar. Tasik Blue Moon boleh berubah warna bergantung pada waktu hari, cuaca, dan sudut cahaya matahari. Pada waktu pagi, ia kelihatan berwarna turquoise terang, manakala pada waktu petang, ia boleh menjadi warna biru yang lebih gelap.
Tonton keunikkan Blue Moon Valley di sini
Lembah ini mempunyai beberapa hentian. Kami dapat menikmati landskap semula jadi yang jarang ditemui dan air terjun dengan hanya berjalan kaki. Sepanjang berada di sini, kami tidak melepaskan peluang berfotografi dan beristirehat, mensyukuri suasana yang tenang. Lembah ini juga menjadi habitat bagi pelbagai spesies hidupan liar, termasuk Yak, antelop Tibet, harimau salji, dan beberapa jenis burung.
Yak digunakan oleh penduduk tempatan sebagai sumber pendapatan dalam industri pelancongan. Pelancong menaiki yak sebagai sebahagian daripada pengalaman mereka di lembah ini.
Dali & Lijiang, Kota Lama, Destinasi Baru untuk rakyat Malaysia
Lijiang Ancient City dalah sebuah bandar bersejarah yang merupakan salah satu tapak Warisan Dunia UNESCO sejak tahun 1997 dan terkenal dengan keindahan seni bina tradisional, budaya yang kaya, dan sejarah yang mendalam. Bandar Lama Lijiang memberi gambaran kehidupan tradisional di Yunnan. Ia terkenal dengan terusan dan jalan berbatu yang menghubungkan kedai-kedai seni, kafe, dan restoran.
Pertunjukkan berlatar belakangkan Jade Dragon Snow Mountain, yang di arahkan pengarah filem terkenal China, Zhang Yimou. Nantikan video tempat menarik lain di Dali & Lijiang.
Pengunjung juga boleh merasai makanan tradisional Yunnan yang halal di sekitar Dali Old Town. Antara pilihan menu yang boleh dinikmati adalah kambing bakar, bubur, sup lembu, sayuran dan teh. Berikut adalah senarai restoran yang kami cuba di sana.
📍Zhāo tōng xiǎo ròu chuàn
📍Yī tíng jū
📍Restaurant Wuliang
📍Jīn Xīn Qīng Zhēn Yuán Yī Fēn Diàn
Tonton Video Restoran Halal di Yunnan
Selain landskap yang mempersona, suhu yang sederhana di Yunnan juga menjadi tarikan untuk rakyat Malaysia berkunjung di sini. Yunnan merupakan bandar yang penuh dengan kepelbagaian etnik. Dengan gabungan seni, makanan, dan landskap yang unik, Yunnan menawarkan pengalaman bercuti yang unik dan ideal bagi yang ingin meneroka kehidupan tradisional China dengan kos yang mampu milik.
Waktu Solat


19 Apr 2025
Waktu solat berikutnya,
Imsak
pada
05:47

