Kluang: Dalam ikrar yang bertemakan ‘Demi Bangsa Johor’, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menekankan aspek pelancongan dengan memperbanyakkan lagi kemudahan asas di destinasi tarikan pelancong di Johor. Tunjang ketujuh Ikrar Perikatan Nasional adalah untuk merancakkan sektor pelancongan. Umum mengetahui sektor pelancongan adalah salah satu industri utama dalam membangunkan ekonomi negara.
Calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Mahkota, Mohamad Nor Lingan berkata, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, beliau berjanji akan menumpukan pembinaan semula kawasan tersebut. DUN Mahkota dan Mengkibol terletak dalam satu bandar dan kita berkongsi kawasan strategik yang berpotensi untuk pelancongan. Tambahnya, DUN itu juga terkenal dengan dua gunung yang menjadi tumpuan pelancong sama ada dalam atau luar negeri.
“Contoh di sini kita ada dua Gunung, iaitu Gunung Belumut dan Gunung Lambak yang berpotensi untuk menjadi sektor eko-pelancongan. Ramai pelancong dan orang tempatan akan datang untuk mendaki di sini. Saya juga telah berganding bahu dengan pasukan yang pakar dalam mengkaji putaran angin. Berdasarkan kajian, kami mendapati lokasi ini sesuai untuk aktiviti “paragliding”,” katanya.
Beliau juga telah bekerjasama dengan pasukan dari UTM, untuk membuat projek penternakan kelulut. Habitat asal lebah kelulut adalah di dalam batang pokok di hutan. Menerusi penyelidikan yang dikendalikan, pasukan dari UTM dapat menggunakan konkrit dan sekam padi untuk pembiakan kelulut gunung. Usaha ini akan dapat membantu industri madu kelulut kekal berdaya saing.
Muhammad, 27, pengusaha restoran berkata, kawasan ini selalu menjadi daya tarikan pelancong dan pusat perhentian untuk orang ramai bersinggah. Ramai warga Singapura juga akan turun untuk melancong di sini. Namun sejak berlakunya pandemik, peratus pelancong yang datang semakin berkurangan.
Menurut Muhammad Amiruddin, peniaga, semasa waktu pandemik melanda negara, beliau telah mendapat bantuan kewangan Geran Khas Prihatin (GKP) yang berjumlah RM1,500. GKP adalah bantuan kewangan secara one-off kepada Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS). Jika sempadan sudah dibuka ramai pengunjung dari Singapura akan datang membeli-belah, dan ini akan dapat memajukan lagi banyak sektor PMKS di sini.
Selain itu, dalam usaha memberi bantuan kepada sektor pelancongan, kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyalurkan Geran Bantuan Khas secara ‘one-off’ sebanyak RM3,000 kepada lebih 5,000 agensi pelancongan yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
Beliau turut menyediakan bantuan tunai secara ‘one-off’ sebanyak RM600 kepada pengusaha ‘homestay’ yang berdaftar dengan MOTAC.
Kata Mohamad Nor, Mahkota mempunyai tanah dan kawasan perladangan yang boleh dijadikan sebagai sektor pelancongan. Kawasan ini boleh dibuat pelancongan agro sebab semua sedia maklum daerah Kluang masih luas kawasan pertanian itu.
Menangani masalah banjir
“Misi saya seterusnya adalah untuk mengatasi masalah banjir di kawasan ini. Apabila hujan berterusan banyak kawasan di sini akan dinaiki air. Jalan penyelesaianya adalah untuk membina penampan air. Penampan ini akan mampu memperlahankan arus air ketika banjir,” jelasnya.
Beliau juga berkata pengalaman sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kluang (MPK) dari 2001 hingga 2022 memberi kelebihan pada dirinya untuk memahami denyut nadi masyarakat bandar itu.
Bantuan bakul makanan semasa zaman pandemik
Malah, Pengerusi Penyelaras DUN Mahkota berusia 45 tahun itu berkata, bantuan yang disalurkan oleh kerajaan ketika pemerintahan PN seperti bantuan bakul makanan dan moratorium semasa pandemik COVID-19 adalah bukti gabungan parti politik itu prihatin terhadap rakyat. Ini merupakan program pertama yang dilaksanakan oleh PN Parlimen Kluang secara bersama yang melibatkan PAS, BERSATU dan GERAKAN di Kluang bagi menyantuni masyarakat yang terkesan dengan COVID-19.
Itulah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) atau kad laporan kita (PN). Banyak perubahan yang saya telah lakukan ketika menjadi Ahli MPK tetapi ia agak terbatas, kalau jadi ADUN lagi banyak saya boleh berkhidmat kepada masyarakat setempat,” katanya.
Sebanyak lapan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM 500 bilion telah dilaksanakan oleh Kerajaan Perikatan Nasional dibawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri ke-8. Antara inisiatif yang dilancarkan termasuk moratorium pinjaman dan pemberian Bakul Prihatin ke mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19. Kempen PRN Johor telah bermula pada 26 Februari lalu dan pengundi akan membuat pilihan pada 12 Mac ini.
Muhyiddin menyeru agar seluruh Bangsa Johor bersatu hati dan memberi mandat kepada Perikatan Nasional untuk membentuk sebuah kerajaan negeri yang berintegriti, cekap dan prihatin rakyat.