Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Azmin Ali letak jawatan presiden FAS
Diterbitkan:  Dec 30, 2016 7:05 PM
Dikemaskini: 11:17 AM

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melepaskan jawatannya sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Dalam kenyataan bersama kepada media hari ini, beliau dan Exco Pembangunan Generasi Muda dan Sukan Selangor Amirudin Shari membuat keputusan untuk tidak bersama FAS.

"Saya dan Amirudin mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama dengan sebuah organisasi dan pengurusan yang tidak berwibawa dan tidak komited dengan agenda perubahan demi menjamin kegemilangan bola sepak negeri Selangor," katanya.

Azmin berkata, beliau dipilih sebagai presiden FAS melalui Jawatankuasa Eksekutif FAS pada Kongres Luar Biasa pada Disember 2014.

Katanya, pelantikan itu disambut baik dengan harapan untuk melakukan perubahan dalam pengurusan FAS dan juga pembangunan sukan bola sepak Selangor.

"Amirudin atas kapasiti sebagai exco telah dilantik sebagai pengurus pasukan untuk memperkukuh mutu dan kualiti sukan bola sepak termasuk program pembangunan Akademi Merah Kuning.

"Akademi ini ditubuhkan untuk menggilap bakat pemain-pemain muda Selangor seawal usia 16 tahun. Kami juga berusaha gigih untuk menyediakan dana yang besar bagi menjayakan usaha ini termasuk menjaga kebajikan pemain-pemain bola sepak Selangor melalui pengurusan kewangan yang telus dan berhemah.

"Kerjasama erat kepimpinan baru dengan para pemain telah berjaya membawa pasukan bolasepak Negeri Selangor menamatkan kemarau 10 tahun kejuaraan Piala Malaysia selain berjaya ke Perlawanan Akhir Piala Malaysia dua tahun berturut-turut pada 2015 dan 2016," jelasnya.

Bagaimanapun tambahnya, setelah hampir dua tahun bersama FAS beliau dan Amirudin tidak melihat kesediaan exco FAS untuk mendukung perubahan.

Menurut mereka, barisan Exco FAS sedia ada masih kekal dengan sikap dan budaya lama.

"Sehingga kini, barisan exco FAS gagal mengemukakan pelan strategik untuk pengurusan bola sepak Negeri Selangor termasuk organisasi pentadbiran yang profesional sebagaimana yang disarankan oleh FAM menjelang 2018.

"Exco FAS terus bergelumang dengan budaya politik yang tidak bertanggungjawab serta mengecewakan penyokong dan rakyat Negeri Selangor," ujarnya.

Tambahnya, kerajaan negeri akan tetap memberikan sokongan dan dukungan kepada kemajuan sukan bola sepak Selangor melalui kaedah baru yang akan diputuskan kelak.

"Kami memberi jaminan kepada penyokong bola sepak Selangor bahawa kegemilangan sukan bola sepak akan dijulang melalui pengurusan yang bersih dan berintegriti," kata kenyataan bersama itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS