Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
TMJ dakwa SB pantau, curi dengar talian telefon
Diterbitkan:  May 11, 2016 4:18 PM
Dikemaskini: 9:00 AM

Tengku Mahkota Johor (TMJ) mendakwa beliau kini dipantau anggota polis cawangan khas (SB).

Tanpa mengetahui alasan di sebalik tindakan itu Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata beliau juta tidak faham mengapa polis juga "perlukan fail" mengenai beliau dan ayahandanya di Bukit Aman.

"Saya tidak faham mengapa telefon saya dicuri dengar. Saya tidak faham mengapa mereka perlukan fail mengenai saya dan ayahanda saya di (Ibu Pejabat Polis) Bukit Aman," katanya melalui kemas kini di Facebook sebentar tadi.

Kenyataan itu dibuat melalui akaun Johor Southern Tigers.

Menafikan sebagai seseorang yang boleh dianggap berbahaya atau pengganas, Tunku Ismail berkata beliau adalah seorang pemimpin yang prihatin terhadap rakyat Johor.

"Saya tidak berbahaya. Saya tidak pernah membunuh sesiapa kecuali bola sepak Malaysia," jelasnya dalam nada sinis.

Tunku Ismail sebelum ini beberapa kali lantang menyatakan pandangannya terhadap beberapa isu negara, termasuk sukan dan politik.

Pada suatu ketika dulu beliau pernah berbalas-balas kenyataan dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.

Tunku Ismail yang memiliki kelab JDT turut pernah mengajak Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk berdebat mengenai isu pembangunan bola sepak negara.

Kalau menang, bagus

FAM adalah antara agensi yang selalu mendapat perhatian tegas daripada Tunku Ismail.

Bagaimanapun melalui pertemuan secara langsung, isu debat itu tidak lagi berbangkit selepas kedua-dua mereka berbincang baru-baru ini.

Sementara itu, dalam kemas kini sama di Facebook Tunku Ismail turut mengulas mengenai perlawanan akhir Piala FA pada 14 Mei ini.

JDT akan berdepan kelab PKNS FC di Stadium Shah Alam.

Kata Tunku Ismail, perkara itu tidak ada dalam fikirkannya.

"Hanya mereka yang tidak berada dalam perlawanan akhir asyik bercakap mengenainya berbanding pasukan yang berada di dalam perlawanan akhir.

"Berada di perlawanan akhir sudah dianggap satu pencapaian. Jika kami menang, bagus. Jika kami tewas, (kami akan) cuba lagi," katanya.

Ditanya jika JDT mempunyai kelebihan daripada aspek jumlah penyokong lebih ramai berbanding PNKS, Tunku Ismail tidak menganggap ia boleh menjamin kemenangan.

Jelas beliau, PKNS berjaya menewaskan Perak di peringkat separuh akhir dengan jumlah penyokong yang lebih rendah berbanding lawan.

"Apabila JDT menewaskan South China di Hong Kong, juga dengan sokongan penyokong yang lebih rendah. Jadi, ia tidak mendatangkan apa-apa perbezaan," ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS