Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Perlukah 'menjaja gedik, kosmetik' di atas padang?

Barangkali memang belum sampai masanya untuk syarikat pengeluar barangan kecantikan menjadi pemain utama dalam sukan bola sepak di negara ini.

Bola sepak adalah sukan yang memerlukan ketangkasan, ketegasan serta aksi keras dengan membabitkan sentuhan kasar fizikal.

Justeru di atas padang kita melihat ada pemain yang tiba-tiba mengerang kesakitan apabila dibentes, atau lebih serius, terkulai kakinya kerana patah diterjah lawan.

Di luar padang trend syarikat pengeluar kosmetik kita adalah seperti berlawan siapa lebih gedik berbanding yang lain.

Mengakui kadang-kadang aksi itu dilakukan hanya sekadar strategi pemasaran sesebuah jenama, apa yang kita bimbang ialah elemen begitu terbawa-bawa ke bidang pengurusan persatuan.

Hasilnya, tajaan yang sepatutnya membawa manfaat "menang-menang" bertukar menjadi ancaman keharmonian, salah faham dan rasa tidak puas hati mana-mana pihak.

Minggu lalu syarikat Vida Beauty Sdn Bhd dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dilaporkan menghadapi masalah ekoran isu dana tajaan.

Sebelum liga Malaysia bermula pula hajat syarikat Megah Perawan mahu menaja kelab PKNS FC hampir menjadi kenyataan sebelum ia dibatalkan kemudian.

Hati kena terbuka

Hari ini D'Herbs Holding pula gagal bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) untuk menandatangani kontrak bernilai RM30 juta bagi tempoh tiga musim.

Banyak hal boleh menjadi penyebab sesuatu tajaan tidak berjaya. Antaranya, kekeliruan berhubung peraturan standard bola sepak serta keperluan lain dalam sukan berkenaan.

Menjual barangan kosmetik tidak sama dengan mengerah kudrat mencari gol di atas padang.

Walaupun hakikatnya boleh wujud titik pertemuan antara kedua-dua 'dunia' itu ia tidak semudah yang disangka jika dijalankan tanpa kajian atau persediaan lengkap.

Contohnya, penaja harus menerima dengan hati terbuka sekiranya pasukan yang ditaja gagal menyinar seperti diharapkan. Membentuk pasukan yang baik dan berdaya saing bukan seperti membancuh formula bedak muka atau mengadun ramuan pengempis perut.

Begitu juga bagi tajaan program hiburan di televisyen. Jika slot tajaan itu kurang mendapat sambutan penaja tidak boleh menyalahkan penerbit 100 peratus.

Justeru bola sepak bagaimana?

Tajaan bukan derma

Tajaan berlangsung apabila ada kontrak ditandatangani. Ia adalah persetujuan bersama yang dibina atas dasar saling mempercayai serta hormat menghormati.

Jika ada klausa dilanggar? Tidak mustahil berlaku namun kredibilitilah yang menjadi taruhannya.

Selain itu di sebalik tajaan sesebuah syarikat, pasti ada pulangan yang diharapkan. Tajaan untuk pasukan bola sepak bukan seperti derma daripada si hartawan pemurah dari tanah Arab - misalnya - yang tidak mengharapkan sebarang balasan.

Pasti ada pulangan yang dimahukan di sebalik tajaan sesebuah syarikat itu. Dalam hal yang dibincangkan ini, syarikat itu ialah syarikat pengeluar barangan kosmetik/kecantikan.

Apa yang berlaku di Alor Setar belum kita ketahui sepenuhnya. Setakat ini KFA hanya menjelaskan mereka tidak dapat menerima tawaran tajaan D'Herbs tanpa mendedahkan alasan yang mendorong mereka bertindak begitu.

Di sisi D'Herbs pula belum ada penjelasan diberi. Khabarnya syarikat itu akan membuat sidang media esok.

Apa yang akan dibangkitkan adalah sesuatu yang menarik untuk kita renungkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS