Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Teka-teki 'tangan ghaib' dalam skuad Kelantan
Diterbitkan:  Jul 8, 2015 12:00 PM
Dikemaskini: 4:09 AM

Tanda tanya terus bermain di minda mengenai maksud sebenar Mohd Azraai Khor Abdullah apabila beliau mendakwa ada "tangan ghaib" yang mengganggu tugasannya ketika melatih skuad Liga Super Kelantan.

Semalam Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sendiri terkejut dengan kenyataan itu dan mahukan penjelasan.

Menurut Tan Sri Annuar Musa, apa yang didakwa Mohd Azraai Khor itu sangat serius dan mengesahkan beliau tidak pernah mencampuri urusan jurulatih.

"Saya mengesahkan menerima pesanan ringkas daripada Mohd Azraai Khor ( gambar ) pada Ahad lalu mengenai peletakkan jawatan beliau.

"Kemudian saya terbaca komen bahawa ada tangan ghaib yang mengganggu tugas jurulatih. Jadi saya nak tahu siapa dan dari mana tangan ghaib itu.. elok didedahkan," kata Annuar.

Sementara itu mengulas mengenai kekosongan jawatan jurulatih skuad The Red Warriors (TRW) itu, Annuar berkata, beliau akan merujuk kepada Kafa sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

"Saya akan temui pasukan minggu depan, insya-Allah," tulis beliau di Facebook.

Sebelum ini Mohd Azraai Khor, 63,  dilaporkan kecewa dengan prestasi Kelantan dan mendakwa kerja kejurulatihannya di Kota Bharu diganggu oleh "tangan ghaib".

Ditanya mengenai bentuk gangguan yang dihadapinya, Mohd Azraai Khor bagaimanapun mengambil sikap mendiamkan diri buat masa sekarang.

Kelantan bakal menentang PDRM di Stadium Shah Alam pada aksi ke-15 perlawanan Liga Super 2015 hari ini dengan bimbingan penolong jurulatih, Zulhasmi Ismail.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS