Apakah maksudnya menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat Datuk Dr Ng Yen Yen berkata bahawa golongan homoseksual boleh menerima bantuan kerajaan sekiranya syarat dipenuhi.
Kenyatan beliau ini jelas mengelirukan dan mengganggu sensitiviti umat Islam di Malaysia. Sewajarnya beliau lebih peka dan menghormati sensitiviti masyarakat Malaysia secara amnya.
Adakah golongan yang tidak diiktiraf ini telah diiktiraf kedudukanya di Malaysia?
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan cek Program Amal 'Love and Care' bernilai RM15,000 oleh Central Market Sdn Bhd kepada Persatuan Orang Kurang Upaya Shuang Fu, Rumah Anak Yatim dan Saudara Baru Shifa serta Rumah Kebajikan Anbu Illam.
Masalah perlakuan hubungan songsang ini adalah satu penyakit yang perlu diubati dan dicegah penularannya di Malaysia.
Malaysia yang mempunyai prinsip rukun negaranya - antaranya, kepercayaan kepada Tuhan dan kesopanan dan kesusilaan.
Malahan perlakuan ini tidak diikitraf oleh Kristian dan Islam. Tahun 1975, Vatikan mengeluarkan keputusan bertajuk The Vatican Declaration on Sexual Ethics .
Isinya, antara lain, menegaskan: " It (Scripture) does attest to the fact that homosexual acts are intrinsically disordered and can in no case be approved of ."
Dalam Pidato Paus Benediktus XVI pada malam Tahun Baru 2006, sekali lagi beliau menegaskan perbuatan homoseksual adalah terkutuk.
Dalam hal ini, perlu kita membetulkan sikap kita kepada perilaku Homoseksual ini. Sikap yang patut kita ambil ialah bukannya menjadikan mereka ini musuh. Tetapi kita perlu menyedarkan bahawa perbuatan mereka itu salah. Inilah sikap yang perlu kita ambil.
Saranan ini telah dinyatakan oleh Amir Syarifudin pengerusi Majlis Ulama Indonesia.
Dalam kita menangani permasalahan ini, usah kita mengubah norma-norma kehidupan masyarakat Malaysia.
Dalam kita memperjuangkan hak kesamarataan, usah sehingga ke tahap menghalalkan perkahwinan sesama jenis ini. Usah sehingga nasib negara kita sama menjadi seperti Amerika Syarikat dan beberapa negara Barat.
Akhirnya institusi kekeluargaan menjadi rosak, seterusnya meruntuhkan sistem masyarakat dan sistem insani itu sendiri.
Di dalam sebuah buku yang bertajuk Indahnya Kawin Sesama Jenis: Demokratisasi dan Perlindungan Hak-hak Kaum Homoseksual ada menyebut tentang bagaimana usaha strategi gerakan golongan ini menyuburkan perbuatan terkutuk ini dalam masyarakat Indonesia dan tidak mustahil gerakan ini menular ke Malaysia.
Buku ini adalah kumpulan artikel di dalam Jurnal Justisia Fakulti Syariah Institut Agama Islam Nasional Semarang edisi 25, Tahun 11, 2004.
Strateginya:
1. Menggembleng tenaga kaum homoseksual untuk bersatu dan berjuang mendapat kembali hak-haknya yang telah dirampas oleh negara.
2. Memberi pemahaman kepada masyarakat bahawa apa yang terjadi pada golongan homoseksual adalah sesuatu yang normal dan menurut fitrah semula jadi; sehingga masyarakat tidak memisahkan darinya, malah sebaliknya masyarakat ikut terlibat mendukung setiap gerakan kaum homoseksual dalam menuntut hak-haknya,
3. Mengkritik dan menulis semula tafsir dalam agama (tafsir kisah Luth dan konsep pernikahan) yang tidak memihak kepada kaum homoseksual,
4. Mencadangkan pindaan Undang-undang Perkahwinan No 1/1974 yang mendefinisikan perkahwinan mestilah di antara lelaki dan wanita." (hal. 15)
Secara peribadinya saya berasa gusar apabila Dr Ng menyebut:
"Kecenderungan seksual seseorang bukan menjadi faktor untuk menerima bantuan daripada kementerian. Kementerian juga melihat mereka sama seperti individu lain.
"Justeru, jika mereka menghadapi sebarang masalah dari aspek kewangan iaitu mempunyai pendapatan kurang RM700 sebulan dan menepati kriteria lain, bantuan akan diberi"
Sekali lagi saya ingin mempersoalkan di sini - adakah golongan ini diiktiraf di Malaysia?
Mengapa mereka seolah-olah layak mendapat bantuan seperti sebuah keluarga miskin? Atas kriteria apa yang digunakan sekiranya ia dibenarkan?
"Dan (Kami juga telah mengutus) Luth (kepada kaumnya). (Ingatlah) tatkala dia berkata kepada kaumnya: 'Mengapa kamu mengerjakan perbuatan keji itu, yang belum pernah dikerjakan oleh seorang pun sebelum kamu. Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan syahwat, bukan kepada wanita; malah kamu ini kaum yang melampaui batas'.
"Jawab kaumnya tidak lain hanya mengatakan: 'Usirlah mereka dari kotamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berpura-pura mensucikan diri".
"Kemudian Kami selamatkan dia dan pengikut-pengikutnya kecuali isterinya; dia termasuk orang-orang yang tertinggal (dibinasakan). Dan Kami turunkan kepada mereka hujan (batu); maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berdosa itu." (Al-A'raf: 80-84).
Homoseksual bukan fitrah tetapi barah dan penyakit. Sesungguhnya manusia tidak mampu membuat penafsiran sendiri terhadap hukum alam.
Manusia tidak dapat lari daripda fitrah rasa bertuhan. Tepuk dada tanyalah hati kecil anda. Adakah anda benar di landasan fitrah.
Firdaus Khairi adalah timbalan presiden, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)