Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dalam realiti sosial, tidak ada satu bangsa yang mempunyai satu budaya. Apatah lagi masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan yang terbuka kepada pengaruh global, maka berganda-gandalah budaya yang ada.

Masyarakat Melayu lama pun boleh dikenal pasti dengan beberapa budaya yang menghiburkan mereka: budaya istana dengan makyong dan bahasa istananya; budaya rakyat dengan joget dan tukang carutnya.

Justeru, dalam masyarakat mutakhir ini, janganlah hairan dan terkejut pula apabila bersua atau terserempak dengan beberapa budaya pada bangsa Melayu, dan juga pada bangsa-bangsa lain.

carburator dung lewd performance at protes fuel price hike rally mppj stadium 070708 03 Kerana tidak memahami realiti sosial ini, maka ramailah yang pening kepala, berang, panik moral dan ada pula yang mengamuk apabila dihadapkan dengan persembahan kumpulan muzik punk Carburetor Dung, dalam perhimpunan Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) pada 6 Julai lalu.

Isu harga minyak naik sudah berubah menjadi "naik minyak".

Sebenarnya, Joe Kid dan kumpulannya itu tidak boleh dipersalahkan, miski menayang punggung sekali pun (atau banyak kali!) kerana apa yang mereka lakukan, itulah jati diri punk.

Punk bukan sahaja sub-budaya, tepatnya ia adalah gejala kontra-budaya daripada budaya remaja. Ia budaya remaja kerana ditaja, didukung serta dihayati oleh remaja belasan tahun.

Tetapi kini ada juga orang tua, seperti Joe Kid, yang masih berpunk dan berhati remaja – kerana dulu, zaman remajanya 1980-an dia seorang punk, sepertilah Mick Jagger yang masih "ber-rock and roll" di hari tuanya sekarang.

Punk adalah sub-budaya kerana ia tidak mengikut arus budaya perdana. Punk bukan sahaja melencong dan tidak mengikut arus, punk sejati bertentangan dengan budaya perdana – kontra budaya.

Jadi apa yang kita lihat dalam konsert di perhimpunan Protes di stadium Kelana Jaya itu tidak lain dan tidak bukan ialah punk sejati yang menampar akal budi awam (perdana).

Tunjuk punggung merupakan perlakuan biadab dalam norma masyarakat kita, apatah lagi dalam suasana hangat isu liwat ketika ini - ia meningkatkan konotasi yang menghentak jiwa.

Tetapi, tidak adakah makna lain pada buntut?

Begitu juga pada lirik kumpulan Carburetor Dung. Dalam lagu punk, sememangnya lirik tidak jelas kedengaran. Dalam perhimpunan lalu, yang kedengaran hanyalah "jilat! jilat! jilat!..."

Inilah perkataan sangat menampar akal budi orang ramai.

Dalam minda normal awam, perkataan jilat itu secara spontan membangkitkan imaginasi aktiviti seks, tidak terbayang pula aksi memakan ais krim yang biasanya dijilat dan dikulum!

Sekarang mari kita cuba meneliti kata-kata yang dinyanyikan, lagu "Mari Nyanyi Menjilat"

Wahai pemuda, wahai pemudi

Jadilah kamu rakyat yang berbakti

Kami berjanji akan tepati

Semua impian yang anda hajati

Rumah yang besar, kereta yang mewah

Semuanya ada di tangan anda

Hidup yang senang penuh jaminan

Jangan bertanya, serahkan pada saya

Jilat, jilat, mari semua menjilat

Jilat, jilat, jilat sampai berkilat

"Macamana? Ada berani ka? Ini tawaran hanya sekali braders and sistas! Apa tunggu lagi, kami tak tipu punya, Ini real, ori punya! Gerenti kaya-raya! Mari, mari!"

Jilat, jilat, mari semua menjilat

Jilat, jilat, jilat sampai berkilat

Wahai pemuzik, underground rockers,

Jangan bermimpi, jangan idealistik

Kalau nak kaya, nak jadi rockstar,

Marilah mari, sain kontrak kami,

Nak masuk radio, masuk MTV

Kenalah kamu menari macam kami

Tengoklah saja, Carburetor Dung

Cakapnya besar, tak kaya-kaya

Jilat, jilat, semua nyanyi menjilat

Jilat, jilat, mari semua jilat

Jilat, jilat, jilat

jangan tak jilat

Jilat, jilat,

jubur korporat sedap!

© 2004 Carburetor Dung

Tidaklah perlulah dihayati lirik lagu ini seperti kuliah kajian puisi di universiti - ia jelas menempelak industri muzik arus perdana.

Intipatinya: kalau hendak kaya harta benda dan hidup mewah senang-lenang, jual jati diri dan ikut sajalah arahan penerbitnya – badan korporat seperti Sony, Warner dan agen-agennya.

Ampulah mereka itu, jilatlah! Ganjarannya lumayan, miskipun produk yang mereka keluarkan itu busuk, sebusuk yang keluar daripada buntut. Inilah konteks perkataan 'jilat' dan tunjuk buntut persembahan punk Carburetor Dung.

Orang yang bukan punk pun selalu guna perkataan jilat dengan maksud yang sama. Di bawah ini diturunkan cebisan respons pembaca dalam sebuah blog seorang pemimpin muda PKR:

Si Ejam ni... dia sokarang... sanggup buek apo sajo... Kasut Pak Lah dia jilat... kasut Najib dio jilat... Kasut KJ pun dio jilat... Almaklum... nak ambik kepocayaan orang2 beso Umno...

journalist photographers cameraman impolitely treated by protes organizers at petrol price hike rally in kelana jaya 080708 03 Tentang muzik yang hiruk-pikuk pula - bayangkan bunyi saban hari yang menyumbat masuk telinga anak-anak yang membesar di sebuah unit flat di bandar-bandar: terdengar dengusan ibu bapa bersenggama, bayi meraung mahukan susu, kereta lori mengaum dari lebuhraya, ketukan cerucuk berdentum-dentam mendirikan rumah pangsa, jiran bergaduh bertengkar, gelombang bunyi televisyen dan hi-fi tidak tentu irama dan suara datang dari segenap penjuru.

Mana ada Beethovan atau Mozart? Keroncong pun jauh sekali. Tidak ada kedengaran bunyi angin yang menderu.

Jika ada dahan jatuh menimpa batu, ia juga tidak kedengaran. Pokok kelapa tiada, pokok durian tiada – bagi anak-anak ini buah luruh pun tidak tahu bagaimana bunyinya.

Dalam suasana bunyi dan suara yang cacamarba, anak-anak ini dibesarkan.

Jadi, kalau muzik remaja punk hingar-bingar layaknya, itu semua mencerminkan kehidupan mereka, kehidupan masyarakat yang dikonstruksi oleh negara. Ia menepati ungkapan bahawa seni merupakan bayangan masyarakat. Seni kita wajah kita!

Yakni, muzik dan gaya hidup punk itu adalah hasilan sampingan proses pengeluaran kembali masyarakat kita (social re-production).

Alam persekolahan, keluarga, media, budaya (arus perdana) dan tradisi serta institusi sosial lainnya dipandang oleh remaja tidak telus dan phony – menyimpang dan bertentangan dari realiti pengalaman hidup remaja.

Manakala nilai dan norma yang ditunjuk ajar oleh ibu bapa, orang tua, pemimpin masyarakat, ketua agama, ahli politik dan elit masyarakat dirasakan oleh remaja mengongkong serta hipokrit.

Bagi mereka, semua orang itu bercakap tidak serupa bikin: pencegah rasuah mengambil rasuah, polis merogol, pencegah maksiat ditangkap khalwat, ustaz memperkosa dara sunti, hakim menerima sogokan, badan korporat merompak dana negara...

Maka, dalam proses pensosialan generasi baru yang diacuankan masyarakat supaya remaja kononnya untuk menjadi harapan bangsa dan menjadi pemimpin masa hadapan, ada remaja yang nampak akan kepincangan usaha itu. Mereka inilah remaja punk!

Apabila berladang di bukit menanam padi, jangan terkejut ada lalang yang tumbuh.

Yunus Ali adalah seorang aktivis sosial dan pemikir hal-ehwal sosio-ekonomi. Sekarang beliau sebagai pengerusi National Institute for Electoral Integrity (NIEI), sebuah NGO yang menjalankan kerja-kerja berkaitan dengan reformasi pilihanraya dan pembangunan demokrasi .


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS