Dalam pilihanraya umum ke-12, BN berjaya memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan pusat dalam keadaan ia sudah tewas di lima buah negeri dan Wilayah Persekutuan.
Pilihanraya itu menyaksikan prestasi terburuk BN sepanjang sejarah apabila kehilangan empat buah negeri dan gagal merampas Kelantan daripada PAS.
Kita semua mesti menerima hakikat ini dengan hati terbuka. Keputusan ini menuntut pemimpin-pemimpin BN di semua peringkat supaya melakukan muhasabah diri dan menerima realiti senario politik negara pada hari ini.
Yang tidak dapat dinafikan, kita semua telah masuk suatu era baru politik Malaysia.
Sesungguhnya kita telah mencapai banyak kejayaan dalam tempoh 50 tahun, namun begitu banyak lagi yang perlu kita ubah suai dan usahakan. Kita memahami budaya politik selalu berubah-ubah mengikut rentak semasa.
Budaya penafian akan menghampakan segala usaha untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan. Dalam era baru politik ini, saya ingin meluahkan serba sedikit ulasan terhadap dasar baru ekonomi menjelang Wawasan 2020.
Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah diperkenalkan pada tahun 1971. Matlamat tersurat dasar ekonomi ini - mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional.
Ia telah digubal dalam konteks strategi serampang dua mata: (a) mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang-peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum; dan (b) menstruktur semula masyarakat untuk mewujudkan keseimbangan ekonomi antara kaum di Malaysia dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.
Secara rasmi, DEB tamat pada 1990. Ia seterusnya digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional pada 1991 hingga 2000.
Ia sepatutnya diikuti dengan Dasar Wawasan 2020 yang mengamalkan pandangan yang lebih liberal.
Entah bila, tiba-tiba muncul semula golongan yang masih menghendaki pemulihan DEB dalam agenda nasional yang baru.
Dasar-dasar ekonomi sedemikian perlu mempunyai had masa. Ia tidak boleh diteruskan tanpa tempoh. Ia akan membebankan ekonomi secara keseluruhannya.
Dasar-dasar ekonomi ini, yang telah dilaksanakan lebih daripada 38 tahun, memperlihatkan Malaysia mempunyai jurang perbezaan pendapatan di antara kaya dan miskin yang paling besar dalam negara-negara Asean.
Jadual : Jurang pendapatan antara golongan termiskin dan golongan terkaya di negara-negara Asean.
-------------------------------------------------------------
Negara Termiskin 10% Terkaya 10% Nisbah Jurang
-------------------------------------------------------------
Malaysia 1.7 38.4 22.1
Singapura 1.9 32.8 17.7
Filipina 2.7 36.3 16.5
Thailand 2.5 33.8 13.4
Vietnam 3.6 29.9 8.4
Indonesia 3.8 28.5 7.8
Merujuk United Nations Human Development Report 2004 , Malaysia mempunyai jurang golongan kaya-miskin yang paling luas di rantau ini.
Sebanyak 10 peratus rakyat Malaysia mempunyai kekayaan berlebihan 22 kali ganda daripada 10 peratus rakyat Malaysia yang paling miskin.
Malah, 10 peratus rakyat Malaysia yang terkaya itu menguasai 38.4 peratus ekonomi negara, tetapi 10 peratus rakyat termiskin hanya menikmati 1.7 peratus sahaja ekonomi negara.
Dasar-dasar ekonomi negara kita perlu dikaji semula kerana ia hanya menjaga segelintir kroni.
Pelaksanan dasar ekonomi negara kita kebelakangan ini secara tidak langsung menunjukkan tanda-tanda bahawa kita menolak kemunculan globalisasi dengan mengekalkan sekatan-sekatan seperti kuota ekuiti syarikat, rangka struktur syarikat, pemberian kontrak-kontrak kerajaan dan lain-lain lagi.
Sekatan-sekatan ini akan menyekat pembangunan negara kita dan seterusnya semua rakyat Malaysia akan terpinggir dalam arus pembangunan ekonomi global. Kita tidak boleh lagi menafikan bahawa globalisasi sangat penting untuk perkembangan ekonomi negara kita.
Pelaksanaan dasar ekonomi sedemikian dengan secara langsung atau tidak langsung telah mengasingkan kaum dalam segala bidang kehidupan di Malaysia seperti dalam perniagaan, pekerjaan, pendidikan, pemikiran dan sebagainya.
Sehingga kini, matlamat dasar ekonomi tersebut tidak tercapai sepenuhnya akibat penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, rasuah, kronisme, nepotisme dan seumpamanya khususnya oleh segelintir ahli politik yang terlibat dalam sektor perniagaan dan telah mengaut keuntungan demi kepentingan diri.
Sekakat ini, sebahagian rakyat Malaysia khasnya kaum Melayu masih di paras kemiskinan.
Sedia maklum, indeks komposit Bursa Malaysia pada umumnya ada kala naik, ada masa turun. Akan tetapi, berapa tahun dahulu pencapaian kedudukan akademik Universiti Malaya menjunam dari tangga 89 ke tangga 102.
Malah, kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2006 yang dikeluarkan oleh Transparency International jatuh dari tangga 39 ke tangga 44 daripada 163 buah negara yang dikaji.
Pada 2007, CPI pula menunjukkan sedikit kemajuan. Kemungkinan strategi pelaksanaan DEB tanpa keseimbangan pasti mendatangkan padahnya.
Pelaksanaan dasar ekonomi negara perlu dijalankan secara berkesan, telus dan adil untuk memastikan penyertaan semua komuniti dan lapisan masyarakat. Ia mesti berasaskan perlembagaan negara yang menjamin hak-hak semua kaum.
Kita harus mengubah sikap dan pemikiran untuk menghadapi era baru ini. Wajar jikalau kerajaan menggubal dasar baru bagi mengurangkan jurang pendapatan antara kumpulan etnik sebagai bukti kerajaan bersikap adil kepada semua rakyat.
Langkah itu penting bagi menghapuskan tanggapan dalam kalangan bukan Melayu, kononnya dasar yang sedia ada tidak menguntungkan mereka.
Dalam kalangan orang Melayu sendiri, ada yang meragui dasar ekonomi tersebut dan mendakwa ia hanya memberi manfaat kepada kumpulan tertentu sahaja.
Saya yakin kerajaan berupaya menggubal dan melaksanakan dasar baru ekonomi secara lebih berkesan kerana ia mempunyai lebih ramai pakar ekonomi dan sumber kewangannya mencukupi.
Masanya tidaklah memihak kepada Barisan Nasional, tetapi waktunya ada pada Pakatan Rakyat. Oleh itu kita tidak boleh menunggu sehingga Pakatan Rakyat telah mengemukakan dasar baru, barulah BN mahu mengubah suai dasar baru ekonomi.
Negeri-negeri yang dikuasai parti pembangkang sekarang dilihat seperti mahu menunjukkan mereka adalah kerajaan yang lebih baik daripada BN dan mengambil inisiatif popular dan disukai rakyat.
Saya menjangkakan sepanjang tempoh empat tahun ini (mulai kemenangan pada pilihanraya umum 8 Mac), mereka akan menggunakan pendekatan popular itu.
Oleh itu kerajaan BN hendaklah membuktikan parti kita lebih baik dalam menjaga kepentingan semua rakyat negara ini.
Sekaranglah waktu terbaik untuk BN mengadakan perubahan dalam semua dasar untuk kembali memenangi hati rakyat dan menjadi sebuah parti yang lebih baik daripada Pakatan Rakyat.
DEB selalu dihubung kait dengan ketuanan Melayu dan hak-hak istimewa orang Melayu, walaupun sebenarnya bukan begitu.
Keistimewaan orang Melayu memang sudah tertulis dalam Perlembagaan Persekutuan pada 1957, manakala DEB hanya diperkenalkan pada 1971.
DEB yang terlalu mementingkan faktor perkauman sudah tidak sesuai dalam era politik kini. Terlalu banyak keutamaan diberikan terhadap soal ekuiti kaum dan bukannya soal kemiskinan rakyat jelata.
Malahan objektif membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum telah diabaikan walaupun pada asalnya ia menjadi matlamat utama dasar ekonomi itu.
Pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi turut diketepikan seperti dalam pengambilan kakitangan perkhidmatan awam (yang rata-ratanya Melayu dan Bumiputera).
Jangan biarkan segelintir orang yang cenderung memainkan faktor perkauman demi kepentingan masing-masing. Semua lapisan masyarakat berbilang kaum perlu berganding bahu mewujudkan warga yang saling hormat-menghormati demi kehidupan yang aman buat generasi bangsa Malaysia akan datang.
Tindakan dan keputusan yang akan diambil perlu mengutamakan kepentingan nasional dan bukannya atas faktor kepentingan perkauman yang sempit.
Rakyat Malaysia masih berhadapan dengan cabaran pembentukan "Bangsa Malaysia".
Dr Cheah Soon Hai adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Derga, Kedah yang menang atas tiket BN