kemaskini 6.23pm Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor kecoh seketika apabila wakil rakyat PKR cuba membacakan laporan akhbar berhubung dakwaan penglibatan timbalan perdana menteri dengan Altantuya Shaariibuu.
Percubaan Azmin Ali (Bukit Antarabangsa) membaca laporan akhbar Liberation yang mendakwa Datuk Seri Najib Razak mengenali wanita Mongolia itu di Paris dibantah oleh Datuk Satim Diman (BN-Seri Serdang).
Pemimpin PKR itu sebelumnya mengupas isu keselamatan dan jenayah yang meningkat di negeri itu sewaktu membahaskan titah ucapan Sultan Selangor sewaktu perasmian penggal kedua persidangan ke-12 DUN semalam.
Kes jenayah berprofil tinggi melibatkan Altantuya juga terjadi di negeri itu, kata Azmin.
Kenyataannya dibantah oleh Satim yang mengingatkan kes tersebut masih dalam perbicaraan di mahkamah dan tidak wajar dibangkitkan dalam DUN.
Akibat teguran wakil rakyat Umno itu, Azmin menuduh Satim seorang "budak suruhan" ketua pembangkang, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo (BN-Sungai Panjang).
Tidak berpuas hati dengan tuduhan itu, Satim meminta Azmin menarik balik perkataan tersebut dengan menyatakan wakil PKR itu berniat tidak baik terhadapnya.
Azmin kemudian menjawab bahawa beliau tidak berniat sedemikian tetapi sememangnya yakin Satim seorang suruhan Dr Mohamad Khir.
Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku) cuba mencelah pertikaman lidah antara kedua-duanya sebelum berjaya diredakan oleh Timbalan Speaker, Haniza Talha.
Persidangan hari kedua bermula dengan sesi soal jawab pagi tadi sebelum Azmin bangun membahaskan titah ucapan Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Terdahulu, Azmin mendakwa Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (Balkis) menggunakan dana Syarikat Permodalan Negeri Selangor (PNSB) untuk mengadakan lawatan ke Disneyland di Tokyo dan Hong Kong.
Tambahnya, beliau boleh menerima jika lawatan dibuat ke kawasan perindustrian di Tokyo dan Eropah tetapi bukannya ke dua tempat tersebut.
Azmin berkata, tuduhannya itu bukan palsu dan beliau sanggup diheret ke mahkamah jika membuat tuduhan palsu.
"Pergi (Disneyland) Tokyo ada kebaikan? Tolong laporkan kepada dewan. Mungkin boleh bawa Disneyland ke Sungai Panjang," katanya, sinis terhadap Dr Mohamad Khir.
Ketika membahaskan titah ucapan baginda petang ini, Dr Mohamad Khir menjawab terhadap tuduhan rasuah dilemparkan terhadapnya,
Beliau meminta tiada sangkaan buruk dibuat terhadapnya kerana beliau telah memberikan kerjasama terhadap siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) antara hampir 12 jam, termasuk dalam isu Balkis.
"Orang yang buruk sangka, hatinya hitam," katanya, sambil menambah beliau tidak bimbang dengan tuduhan-tuduhan itu kerana "berada di pihak yang benar."
Menyentuh pergolakan politik di Perak sehingga memaksa wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat mengadakan mesyuarat tergempat DUN di bawah pokok, Dr Mohamad Khir berkata perbandingan Azmin sebelumnya sebagai kesalahan fakta yang amat jelas.
Persidangan di bawah pokok itu berbeza dengan peristiwa perjanjian taat setia Nabi Muhammad, kata bekas menteri besar itu.
Azmin dalam sidang di sebelah pagi meminta para pemimpin BN "jangan memperlekehkan mesyuarat di bawah pokok" kerana pertemuan begitu pernah berlaku dalam sejarah Islam.
Dr Mohamad Khir menambah, BN menghormati institusi raja apabila akur pelantikan menteri besar di Perlis dan Terengganu, tidak seperti tindakan Pakatan Rakyat di Perak.
Sewaktu rehat tengah hari tadi, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan beliau dan barisan exconya akan mendedahkan aset masing-masing mulai Jumaat ini.
Maklumat hartanah, saham dan wang mereka yang diperolehi atau dilupuskan sejak mengangkat sumpah pada 24 Mac 2008 diisytiharkan di laman web rasmi kerajaan www.selangor.gov.my .