Pertemuan empat mata antara perdana menteri dengan ketua pembangkang di sebuah madrasah di Hulu Langat hari ini membuka spekulasi wujud rundingan antara dua tokoh politik negara itu.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut makan tengah hari bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di madrasah Nurul Iman yang diasaskan oleh seorang tokoh agama Syeikh Mahmud al-Majzub.
Majlis yang turut dihadiri beberapa ulama luar negara itu bersempena sambutan Maulud Rasul.
Isteri Anwar dan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengiringi suaminya ke majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 orang.
Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang turut hadir di situ, menafikan wujud rundingan sulit antara Abdullah dengan Anwar seperti dispekulasikan oleh seorang penulis politik.
Mohd Sayuti Omar, yang berada di madrasah waktu itu, berkata kedua-dua pemimpin itu berada di rumah Syeikh Mahmud lebih 90 minit, termasuk untuk makan.
"Mereka keluar dari rumah berkenaan untuk mendirikan solat Zohor bersama jam 1.40 petang.
"Difahamkan semasa di dalam rumah Syeikh Mahmud, pertemuan enam biji mata berlangsung antara Abdullah, Anwar dan Syeikh Mahmud.
"Satu perundingan juga dikatakan berlaku (antara dua tokoh politik itu) dengan Syeikh Mahmud menjadi perantaranya!" tulis Mohd Sayuti di blog peribadinya.
Bagaimanapun satu sumber dekat dengan Anwar memberitahu Malaysiakini petang ini, satu pertemuan tertutup dengan Abdullah berlangsung atas permintaan Syeikh Mahmud.
Pertemuan selama 20 minit itu membangkitkan beberapa isu, antaranya penyerahan kuasa Abdullah kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Ia sudah terlambat," kata perdana menteri, menurut sumber PKR itu, apabila dipersoalkan oleh Anwar berhubung kelayakan Najib memimpin negara.
Abdullah juga didakwa memberitahu Anwar bahawa masih ramai ahli-ahli parlimen Umno yang setia padanya walaupun parti itu bakal diketuai oleh Najib bulan depan.
Dalam pertemuan itu juga, perdana menteri dan penasihat PKR berjanji untuk sentiasa membuka ruang berkomunikasi antara mereka berdua.
Dalam blognya, tidak menafikan pertemuan empat mata itu, Anwar hanya berkata "terlalu banyak andaian dan tafsiran mengenai kehadiran saya dan perdana menteri di Hulu Langat tengah hari tadi."