Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini Menteri besar dan barisan exco kerajaan Selangor dijangka mengumumkan jumlah aset masing-masing minggu ini dalam laman web rasmi kerajaan negeri.

Sewaktu mengambil alih kerajaan negeri tersebut pada Mac tahun lalu, sebahagian mereka tidak bersedia mengumumkan jumlah awal aset - khususnya jumlah pegangan saham - dengan "alasan keluarga".

Dalam ucapan Sultan Selangor sewaktu merasmikan sidang penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, baginda bertitah pengisytiharan aset tersebut dibuat bagi melaksanakan dasar pentadbiran baik yang dipromosikan dalam konsep kompeten, kebertanggungjawaban dan ketelusan.

"Pada masa hadapan, beta menaruh keyakinan kerajaan negeri akan melaksanakan secepat mungkin pengisytiharan aset semua ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri dalam usaha meletakkan Selangor di hadapan daripada aspek pelaksanaan tadbir urus yang baik," titah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Titah baginda lagi, pengisytiharan aset itu sewajarnya boleh dicapai orang ramai secara dalam talian.

Sementara itu, baginda juga menyatakan kekesalannya terhadap beberapa siri demonstrasi politik yang makin banyak berlangsung oleh pelbagai pihak akhir-akhir ini.

"Justeru itu, beta menyeru kepada semua pihak agar memberhentikan segala tindak tanduk yang boleh menjejaskan imej negara ini dan menumpukan perharian ke arah memupuk perpaduan yang erat di kalangan semua kaum," titah baginda lagi di Shah Alam pagi tadi.

Dalam ucapan hampir dua jam itu, Sultan Selangor turut berharap beberapa isu berbangkit di negeri itu – antaranya penstrukturan semula aset dan bekalan air, pembersihan Sungai Klang, sistem pengangkutan awam, peningkatan jenayah dan pemilikan tanah orang Asli – dapat diselesaikan segera.

Mengulas keselamatan di negeri itu, Sultan Sharafuddin bertitah, jumlah anggota polis perlu ditambah bagi mengimbangi nisbah penduduk di negeri itu.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga disarankan mengkaji penubuhan polis bantuan bagi menyokong usaha membeteras jenayah oleh polis yang menurut baginda mengalami kekurangan pegawai.

"Di samping itu, beta turut menyarankan skim gaji dan upah polis dikaji semula, seiring dengan pengorbanan dan sumbangan mereka yang berkhidmat untuk negara kita yang dicintai," titah baginda.

Mengulas mutu alam sekitar di negeri itu, baginda bertitah, sudah sampai masanya kerajaan negeri memikirkan secara serius pembersihan Sungai Klang secara menyeluruh.

"Ini mungkin memakan masa sepuluh hingga 20 tahun, seperti mana pembersihan sungai yang pernah dijalankan di seluruh dunia," titah tuanku.

Berhubung penstrukturan semula air di negeri itu yang menyaksikan ketegangan terbuka antara kerajaan dengan syarikat konsesi, baginda bertitah:

"Beta faham industri air ini teramat kompleks dan melibatkan banyak analisis kewangan. Oleh itu, beta berharap harga yang ditawarkan oleh kerajaan kepada syarikat-syarikat konsesi air berpatutan dan sesuai bagi memudahkan rundingan."

Sultan Sharafuddin juga menyeru semua pihak menghormati sepenuhnya Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tubuh kerajaan Selangor dan undang-undang negara dengan tidak menafsirkannya sesuka hati.

"Kita perlu sentiasa mengangkat martabat Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tubuh kerajaan Selangor dan undang-undang negara ke tahap tertinggi mengatasi segala kepentingan peribadi dan politik masing-masing," titah baginda.

Sidang DUN akan berlangsung selama seminggu sehingga 17 Mac ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS