Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jangan ambil ringan aspek perpaduan, titah Agong
Diterbitkan:  Mar 9, 2009 7:14 PM
Dikemaskini: Mar 10, 2009 2:14 AM

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini menyeru rakyat supaya menghayati sejarah kehidupan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang meletakkan kepentingan kesatuan dan perpaduan di kalangan manusia sebagai asas kecemerlangan dan pemangkin khaira ummah (umat yang berkualiti dan baik).

Baginda bertitah usaha untuk menyatupadukan masyarakat adalah usaha yang berterusan sejajar dan bertepatan dengan tuntuan serta cabaran pada alaf ke-21 ini.

"Oleh yang demikian, segala dasar dan polisi yang dirangka ke arah menjadikan negara ini dan seluruh rakyat sebagai komuniti negara maju pada masa hadapan tidak akan tercapai jika aspek kesatuan atau perpaduan ini diambil ringan semua pihak.

"Apabila sebahagian umat manusia dijangkiti sikap tamak dan mementingkan diri serta tidak lagi mempedulikan nilai-nilai mulia dalam mengejar kepentingan duniawi, maka berlakulah pelbagai bentuk malapetaka dan kemusnahan yang menimpa hidup manusia lantaran kemurkaan Allah S.W.T," titah baginda, lapor Bernama.

Tuanku Mizan bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Dataran Merdeka di ibunegara hari ini. Turut hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam sambutan bertemakan 'Wahdah Pemangkin Khaira Ummah', baginda bertitah penghayatan Islam yang telah diterjemahkan melalui sejarah kegemilangannya membuktikan bahawa umat manusia pernah bersatu di atas paksi kebenaran pada suatu ketika dahulu.

Tuanku Mizan bertitah Islam juga mengharamkan sebarang bentuk penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan diskriminasi sebaliknya menganjurkan keamanan, hak kesamarataan dan saling membantu.

Anugerah Maulidur Rasul

Baginda bertitah Islam juga mewajibkan perlindungan dan hak sama rata ke atas setiap lapisan masyarakat Islam dan bukan Islam.

Tuanku Mizan juga menyeru umat Islam di negara ini supaya sama-sama berusaha dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh keikhlasan dengan meningkatkan penghayatan terhadap kitab suci Al-Quran dan sunnah Rasulullah sehingga menjadi umat yang bersatu padu, terbilang dan mapan mendepani cabaran semasa.

Pada majlis itu, baginda juga berkenan menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul kepada enam penerima.

Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2009 yang buat julung kalinya diperkenalkan pada sambutan kali ini ialah Profesor Pendidikan di Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Dr Sidek Baba yang membawa pulang RM50,000 dan plak.

Penerima Anugerah Maulidur Rasul pula ialah Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Dr Maamor Osman, Pengarah Urusan Syarikat Laksamana Nusantara Sdn Bhd, Mortadha Abdullah, Yang Dipertua Persatuan Pengasih Malaysia Mohd Yunus Pathi Mohd, pelajar Muhammad Ahmad Zahid dan kanak-kanak istimewa yang kurang upaya dari bahagian pinggang ke bawah, Muhammad Haziq Samrat.

Kelima-lima mereka menerima wang tunai yang kesemuanya berjumlah RM22,000 dan plak.

Sambutan hari ini bermula dengan perarakan sambil berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w yang terdiri daripada kontinjen jabatan kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan, sekolah, institusi pengajian tinggi awam dan institut latihan dan wakil masjid membabitkan kira-kira 100,000 peserta.

Sambutan kali ini turut dihiasi dengan persembahan nasyid dan lagu-lagu ketuhanan, penceritaan kisah-kisah nabi, sketsa dan pukulan kompang oleh artis-artis tempatan seperti Hijjaz, Waheeda, Yassin, kumpulan Kopratasa dan kumpulan Al-Gebra.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS