Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perhimpunan Umno dijangka bincang PPSMI
Diterbitkan:  Mar 8, 2009 9:40 PM
Dikemaskini: 2:02 PM

Perhimpunan Agung Umno ke-63 hujung bulan ini dijangka membincangkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang kini menjadi isu hangat diperbincangkan dan memerlukan perhatian serius kerajaan.

muhyiddin yasin muhyiddin yassin Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah ke arah mempercepatkan tindakan menangani isu ini perlu dilakukan bagi memastikan masalah itu tidak berlarutan dan masyarakat dapat menerima dengan baik.

"Adalah tidak tepat sekiranya penyelesaian isu bahasa dilengah-lengahkan dan menteri berkenaan perlu beri kata dua dalam menyelesaikan masalah ini. Apa pun keputusan akan dikaitkan dengan Umno dan ini memberi kesan negatif terhadap parti yang selama ini dianggap pembela orang Melayu," katanya selepas majlis Maulidul Rasul di Kota Bharu hari ini, lapor Bernama.

Beliau yang juga calon timbalan presiden Umno tidak menolak kesan isu bahasa Melayu memberi persepsi yang tidak sihat kepada parti sehingga membawa kepada keyakinan rakyat terhadap kerajan pimpinan Umno.

ppsmi march 070309 crowd.jpg "Terserah kepada menteri berkenaan, bagi saya ia banyak faedah sekiranya diberikan keputusan yang cepat khususnya untuk generasi akan datang," tegasnya.

Kira-kira 8,000 orang menyertai perhimpunan anjuran Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) semalam. Polis melepaskan tembakan gas pemedih mata apabila mereka mula berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Perhimpunan tersebut turut disertai beberapa pemimpin pembangkang termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Isu PPSMI dalam usul pendidikan adalah antara usul yang dijangka dibahaskan

pada perhimpunan agung parti selama lima hari bermula 24 Mac ini, selain usul ucapan dasar presiden, ekonomi dan agama, kata Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Usul lain yang dijangka menjadi perbahasan hangat ialah usul terima kasih kepada Presiden, katanya.

Menurutnya semua wakil negeri berpeluang berucap pada perhimpunan itu yang antara lain memperincikan lagi usul ucapan dasar yang mungkin menyentuh sejarah perjuangan Umno dan selepas pilihan raya umum ke-12 lalu.

Bagi usul ekonomi, tumpuan diberi kepada usaha meningkatkan ekonomi orang Melayu yang kini dianggap masih ditahap yang lemah, tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS