Peguam bagi Speaker DUN V Sivakumar menfailkan rayuan berhubung keputusan mahkamah menghalangnya melantik peguam persendirian dalam pergelutannya dengan menteri besar BN Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir.
Permohonan itu difailkan di mahkamah Ipoh dan Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini.
Selain melarang Sivakumar melantik peguam pilihannya, beliau dimestikan diwakili oleh penasihat undang-undang negeri Perak berhubung dua kes yang difailkan oleh pemimpin BN negeri dan tiga wakil rakyat bebas.
Semalam mahkamah sekali lagi memutuskan Speaker itu hanya boleh diwakili oleh penasihat undang-undang sewaktu mendengar permohonan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) terhadap Sivakumar kerana mengisytiharkan bahawa kerusi mereka kosong.
Permohonan itu dibuat oleh Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang).
Selasa lalu, pesuruhjaya kehakiman yang sama Ridwan Ibrahim melarang peguam persendirian mewakili Sivakumar sewaktu mendengar permohonan Dr Zambry dan enam exco kerajaan negeri yang mencabar keputusan penggantungan daripada menghadiri sidang DUN.