Mahkamah Tinggi Ipoh sekali lagi memutuskan bahawa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar hanya boleh diwakili oleh pegawai undang-undang negeri dan bukan peguam persendirian yang dilantiknya.
Keputusan tersebut dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim selepas mendengar hujah dalam kamarnya.
Sebelum itu, peguam Sivakumar gagal dalam usaha mereka supaya hujah dibuat dibuat di mahkamah terbuka.
Mahkamah mendengar permohonan yang difail oleh tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bebas yang menyokong BN terhadap Sivakumar kerana mengisytiharkan bahawa kerusi mereka kosong.
Permohonan itu dibuat oleh Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi; Adun Changkat Jering, Mohd Osman Mohd Jailu dan Adun Jelapang, Hee Yit Foong, terhadap Sivakumar yang didakwa secara tidak sah mengisytiharkan kerusi mereka kosong, dengan menggunakan surat peletakan jawatan tidak bertarikh.
Barisan penguam bagi ketiga-tiga calon bebas itu diketuai oleh Mohd Hafarizam Harun.
Wakil penasihat undang-undang negeri juga turut hadir dalam kamar, bersama-sama dengan peguam Sivakumar, Chan Kok Keong.
Peguam dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga turut terbabit.
Ridwan sebelum ini memutuskan bahawa Sivakumar mesti diwakili oleh penasihat undang-undang negeri, tetapi Speaker tersebut membantah, dan mahu diwakili peguamnya sendiri.
Mahkamah kini akan mendengar permohonan ketiga-tiga calon bebas tersebut.
Berita penuh menyusul