Beberapa anggota pembangkang di Dewan Rakyat tidak berpuas hati kerana jemputan untuk menghadiri taklimat isu pemberhentian pekerja oleh menteri sumber manusia ditarik balik.
Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) menyifatkan pembatalan itu diskriminasi oleh Datuk Dr S Subramaniam, lapor Bernama .
"Isnin, saya terima jemputan menteri sumber manusia menghadiri sesi taklimat isu pemberhentian pekerja.
"Majlis itu di Legend Hotel 10 Mac 2009. Selepas itu kita diberitahu Bentara, majlis ini untuk BN sahaja.
"(Anggota) parlimen pembangkang tak dijemput dan tak boleh hadir taklimat. Surat (jemputan) kami diminta ambil balik.
"(Anggota) pembangkang lebih 30 peratus dari ahli dewan ini. Takkan menteri berkenaan mengecualikan kita dari kita jalankan tugas kita ini," wakil rakyat itu dipetik berkata.
Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) juga meminta penjelasan hal tersebut daripada Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee kerana jemputan itu dibuat di Parlimen.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) berkata jemputan itu sah dan mungkin berniat baik tetapi kemudian mungkin menerima nasihat pihak tertentu supaya tidak menjemput pembangkang.
"Kalau pun (tidak menjemput), mohon (lah) maaf. Menteri apa ni? Nak jaga manusia macam mana. Minta dia minta maaf," katanya, lapor agensi berita itu lagi.
Ronald berkata perkara ini tidak terpakai dan tidak berkenaan peraturan mesyuarat 26 1 (b) dan terlalu kecil untuk membawa seseorang ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen.
"Isu ini perlu dijawab oleh kementerian berkenaan. Masa penggulungan nanti boleh tanya," katanya.
Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Shaziman Abu Mansor yang menggulung perbahasan kemudian meminta maaf bagi pihak Kementerian Sumber Manusia sekiranya berlaku kesilapan dalam jemputan atau pembatalan majlis berkenaan.