Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 12.47pm Universiti Utara Malaysia (UUM) menangguhkan tindakan disiplin terhadap tiga mahasiswanya berhubung bantahan mereka terhadap kenaikan tambang bas di kampus itu.

Jawatankuasa tatatertib pelajar yang dijadual memanggil ketiga-tiga mahasiswa itu 2.30 petang ini memaklumkan penangguhan tersebut kepada mereka dalam satu surat lewat petang semalam.

Surat itu tidak menyatakan alasan penangguhan tersebut dan tarikh baru perbicaraan ke atas Choo Kok Wei, Medecci Lineil Repong dan Tengku Mohd Hasrul Tengku Malek.

Ketiga-tiganya antara 10 pelajar yang terlibat dalam jawatankuasa khas memantau harga tambang bas di kampus di Sintok itu.

Jawatankuasa itu ditubuhkan bulan lalu selepas mahasiswa membuat bantahan melalui petisyen dalam talian berhubung kenaikan tambang bas di universiti berkenaan daripada RM0.40 sen untuk satu destinasi kepada RM0.55.

Tujuh lagi mahasiswa yang menganggotai jawatankuasa itu setakat ini tidak dikenakan apa-apa tindakan.

Tengku Mohd Hasrul, yang pernah mengetuai jawatankuasa bantahan tersebut, menghadapi tuduhan berbeza iaitu mengkritik seorang timbalan naib canselor UUM melalui tulisan di blog peribadinya.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Penolong Pengarah Unit Disiplin dan Tugas Khas, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Akademik (HEPA) Shahidan Shafie mengesahkan penangguhan perbicaraan itu.

Beliau bagaimanapaun tidak dapat menjelaskan tempoh masa dan sebab penangguhannya kerana "hanya menerima arahan".

Penangguhan perbicaraan itu juga didakwa bukan disebabkan tekanan daripada kumpulan mahasiswa dan NGO yang menentang tindakan ke atas ketiga-tiga mahasiswa terbabit.

"Saya hendak tertekan apa, bukan saya tumbuk dia (ketiga-tiga mahasiswa itu). Saya hanya menjalankan tugas. Saya hanya mengikut arahan," katanya.

Jumaat lalu, Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malasia (Dema), Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) dan Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami) mendesak UUM menggugurkan kes itu.

Kumpulan itu juga menyeru mahasiswa berkumpul di tempat perbicaraan di bangunan Canselori ketika perbicaraan berlangsung.

Mengulas perkara itu, Shahhidan berkata, UUM tidak menerima walau sepucuk pun surat bantahan dan rayuan berhubung perkara itu.

"SMS adalah (diterima), itu saya tidak nafikan," katanya.

Diminta mengulas pendakwaan kes tersebut, Shahidan berkata UUM mendapati "ada kes" untuk mendakwa ketiga-tiga mahasiswa berkenaan.

Bagaimanapun, kesalahan mereka hanya akan diputuskan oleh jawatankuasa disiplin.

Beliau juga menambah, ketiga-tiga pelajar berkenaan dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib UUM bukan kerana menghantar memorandum bantahan kepada UUM berhubung kenaikan tambang bas, tetapi kerana memberikan kenyataan kepada media tanpa kebenaran universiti.

Sementara itu, mengulas perkembangan terbaru itu, Tengku Mohd Hasrul ketika dihubungi berkata beliau menerimanya "seperti biasa".

"Saya tidak kisah, saya telah memutuskan akan memberikan kerjasama penuh," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS