Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sidang tergempar: Speaker dan setiausaha DUN bercanggah
Diterbitkan:  Mar 1, 2009 5:29 PM
Dikemaskini: Mar 2, 2009 3:53 AM

Kemelut politik yang melanda negeri Perak, selepas Barisan Nasional (BN) menubuhkan kerajaan negeri baru awal bulan lalu, terus berlanjutan.

Hari ini, Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Abdullah Antong Sabri berkata cadangan Speaker V Sivakumar untuk memanggil satu sidang tergempar Selasa ini adalah tidak sah.

Katanya, ia tidak boleh diadakan kerana tidak mendapat perkenan

Sultan Perak berdasarkan Perintah Tetap Dewan Negeri serta

Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Abdullah menegaskan demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, Sivakumar dilaporkan berkata sidang tergempar itu tidak memerlukan perkenan Sultan Perak terlebih dahulu kerana notis 14 hari hanya perlu dikeluarkan dalam keadaan DUN bersidang biasa dan bukannya untuk sidang tergempar.

Sivakumar memanggil sidang tergempar itu untuk membincangkan dua notis usul yang diterimanya berhubung krisis peralihan kuasa

kerajaan negeri itu.

Bagaimanapun dalam reaksinya terhadap kenyataan Abdullah itu, Bernama memetik Sivakumar berkata sidang tergempar Dewan itu Selasa ini adalah sah dan akan diadakan seperti yang telah ditetapkan.

Sivakumar berkata beliau dengan pakar undang-undang perlembagaan telah meneliti peruntukan Undang-undang Tubuh dan Perintah-perintah Tetap Perak dan mendapati beliau mempunyai kuasa untuk memanggil sidang tergempar itu.

"Saya dimaklumkan dengan jelas oleh pakar-pakar perlembagaan bahawa memanggil persidangan Dewan secara tergempar adalah terletak dalam ruang lingkup bidang kuasa Speaker," katanya kepada pemberita di Ipoh hari ini.

Sehingga hari ini, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin masih mengakui beliau merupakan menteri besar Perak yang sah.

Manakala menteri besar BN, Datuk Zambry Abdul Kadir mengangkat sumpah awal bulan lalu, selepas BN menubuh kerajaan baru di negeri itu.

Abdullah dalam kenyataannya berkata mengikut Perintah Tetap Dewan Negeri (PT) 8(1) yang perlu dibaca bersama-sama dengan Perkara XXXVI(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan berkehendakkan perkenan

Tuanku Sultan untuk memanggil apa-apa sidang Dewan Negeri sama ada dalam keadaan biasa atau tergempar.

Menurutnya, beliau telah menerima arahan dari Sivakumar supaya

mengeluarkan notis segera untuk mengadakan sidang tergempar DUN Selasa ini melalui urat Sivakumar yang bertarikh 25 Februari 2009 yang turut disertakan notis usul aripada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja dan ADUN Titi Serong.

Abdullah berkata, walaupun ia sidang tergempar, "dalam apa jua pun keadaan, saya hendaklah menghantar notis bertulis tersebut berserta dengan warta pemasyhuran memanggil dewan kepada tiap-tiap anggota DUN menarik perhatian mereka kepada pemasyhuran tersebut.

"Permasyhuran memanggil dewan dibuat oleh DYMM (Duli Yang Maha Mulia) Sultan. Ini adalah berdasarkan PT 1 (Perintah Tetap DUN) yang mengatakan "maka Setiausaha Dewan hendaklah membacakan Pemasyhuran DYMM Seri Sultan Perak Darul Ridzuan memanggil mesyuarat.."

Kuasa mutlak

"PT 10 (1) mengatakan " Penggal Dewan hendaklah diadakan pada

waktu dan tempat sebagaimana yang ditetapkan oleh DYMM Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dari semasa ke semasa melalui perisytiharan dalam Warta," katanya.

Beliau berkata berasaskan PT 10 (1) itu, kuasa mutlak untuk memanggil sidang DUN adalah kuasa Sultan Perak dan ia tidak boleh dipertikaikan.

"Ini adalah kerana Perkara XXXVI(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan memberi kuasa yang jelas kepada DYMM Sultan Perak untuk memanggil DUN bersidang," katanya.

Beliau berkata, Perkara XXXVI (1) memperuntuk "DYMM hendaklah dari semasa ke semasa memanggil bersidang Dewan Negeri itu dan tidaklah boleh membiarkan tempoh enam bulan berlalu di antara perjumpaan yang akhir lepas dalam satu persidangan dengan tarikh yang ditetapkan bagi perjumpaan yang pertama dalam persidangan yang di hadapan."

Abdullah berkata peruntukan di atas adalah peruntukan Perlembagaan yang merupakan Undang-Undang Tertinggi di negeri Perak dan jelas menunjukkan kuasa untuk memanggil sidang DUN adalah kuasa Sultan Perak.

Khamis lalu, Sivakumar menerima dua usul dengan yang pertama daripada ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim Abdullah daripada PAS, adalah bagi dewan menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar, manakala usul kedua oleh Chang Lih Kang (PKR-Teja) yang memohon supaya dewan itu dibubarkan untuk membolehkan pilihanraya negeri diadakan.

Mengulas lanjut kenyataan Abdullah itu, Sivakumar sebaliknya menegaskan setiausaha DUN itu tidak mempunyai kuasa untuk

menafsir Perintah Tetap Dewan Negeri (PT) dan sebaliknya kewajipan beliau Abdullah) adalah hanya untuk mematuhi perintah dan arahan Speaker serta menjalankan tugas seperti yang termaktub dalam PT.

Speaker DUN Perak itu berkata Abdullah telah membuat tafsiran yang salah ke atas PT kerana PT 8 (1) jelas menyatakan notis bertulis menarik perhatian kepada pemasyhuran memanggil Dewan adalah tidak diperlukan, sebaliknya hanya memerlukan notis memanggil Dewan bersidang dikeluarkan dengan seberapa segera.

"Artikel 36 (1) Undang-undang Tubuh Negeri Perak pula hanya digunapakai untuk permulaan sesuatu sesi Dewan ataupun apabila Dewan bermula selepas sesi itu tamat.

"Artikel ini tidak boleh digunapakai dalam keadaan setelah Dewan

ditangguhkan dan dipanggil semula untuk bermesyuarat dalam sesi yang sama," kata Sivakumar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS