Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata Pergerakan Pemuda Umno perlu lebih profesional dalam berhadapan dengan isu surat layang yang mendakwa berlaku penghinaan terhadap Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Beliau berkata perkara tersebut amat mendukacitakan kerana tuduhan yang dianggap tidak berasas itu dibuat semata-mata berdasarkan isi kandungan surat layang yang tidak diketahui dari mana dan siapa pengirimnya.
"Mungkin dia (Pemuda) yang buat surat itu sendiri dan lagipun ramai pihak dah terima surat layang, tapi saya tak faham kenapa yang di Kedah nih yang depa (mereka) heboh sangat," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Dialog Industri dan Seminar Pembangunan Industri Halal Nasional,
peringkat negeri di Alor Star hari ini, lapor Bernama.
Sementara itu, Anggota Mesyuarat Kerajaan negeri Kedah, Datuk Amiruddin Hamzah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar kira-kira jam 9 malam tadi berhubung isu berkenaan.
Amiruddin yang bertindak sebagai wakil kerajaan negeri, berkata tindakan itu diambil supaya siasatan dilakukan terhadap kenyataan Setiausaha Pemuda Umno Kedah, Haris Che Mat yang mendakwa menerima surat layang mengandungi dialog antara seorang Exco dan pegawai kanan kerajaan menghina Sultan yang telah dipos ke rumahya 23 Februari lalu.