kemaskini 8.13pm Polis akan memanggil bekas kekasih Elizabeth Wong sebagai "saksi" dan "bukan suspek" kes penyebaran foto bogel exco kerajaan Selangor itu, kata ketua polis Kuala Lumpur.
"Buat masa ini, dia (Hilmi Malek) hanya sebagai saksi. Setakat ini, dia belum (jadi) suspek lagi," kata Datuk Muhammad Sabtu Osman ketika ditanya sama ada lelaki awal 30-an itu satu-satunya suspek dalam kes itu.
Setakat pengetahuan polis, tambahnya, bekas teman lelaki Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan itu sekarang berada di Jakarta.
Maklumat yang diterima oleh polis bahawa Hilmi berada di Kuala Lumpur tidak dapat disahkan.
"Soalan ini telahpun diajukan kepada saya, bahawa Hilmi dikesan berada di Kuala Lumpur. Tetapi sebenarnya kita belum lagi mendapat pengesahan sebarang pergerakan yang menunjukkan Hilmi berada di negara kita," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur petang ini.
Setakat ini polis telah mengambil keterangan 14 orang berhubung kes tersebut, katanya lagi.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan individu-individu terbabit atau latar belakang mereka.
Muhammad Sabtu juga enggan mengulas sama ada polis akan meminta bantuan agensi polis antarabangsa Interpol untuk menjejak Hilmi.
Ditanya sama ada Elizabeth dipanggil semula memberikan keterangannya bagi membantu siasatan, beliau berkata:
"Belum lagi setakat ini. Ini bergantung kepada siasatan kita."
Beliau juga berkata, tiada tempoh tertentu untuk menutup siasatan kes itu kerana ia bergantung kepada bukti yang ada.
"Kalau bukti kukuh, cepatlah," katanya.
Selain itu, Muhammad Sabtu memberi amaran kepada sekumpulan penyokong P Uthayakumar – penasihat undang-undang Hindraf yang kini ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) – agar tidak membuat laporan polis beramai-ramai esok.
Tambahnya, polis mendapat maklumat bahawa kira-kira 500 orang yang tidak berpuas hati dengan rawatan sakit kaki yang diterima Uthayakumar akan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields jam 10 pagi esok.
Polis menasihatkan orang ramai tidak berkumpul untuk membuat aduan seorang demi seorang berhubung isu tersebut seperti dirancang kerana maksimum tiga orang dibenarkan membuat laporan polis.
"Kita benarkan wakil sahaja, yang hendak dilaporkan perkara yang sama, akan disiasat di bawah kertas siasatan yang sama juga," katanya.
Muhammad Sabtu berkata perhimpunan itu akan diisytiharkan haram dan polis boleh mengambil tindakan, termasuk membuat tangkapan.
Beliau tidak menjelaskan penganjur program tetapi memberi amaran kepada sesiapa yang memakai simbol Hindraf akan ditangkap kerana ia telah diisytiharkan pertubuhan haram.
Sementara itu, mengulas isu kekecohan antara sekumpulan ahli Pemuda Umno dan Pengerusi DAP Karpal Singh di bangunan Parlimen semalam, Muhammad Sabtu berkata, polis tidak menerima aduan daripada pihak-pihak terbabit.
Ketua polis itu juga berkata, pihaknya mungkin mengkaji semula kawalan keselamatan di parlimen walaupun menurutnya, jumlah anggotanya yang ditempatkan di tempat itu sudah cukup.
Beliau enggan mengulas dakwaaan Karpal bahawa polis tidak memberikan bantuan ketika kejadian itu berlaku.