Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Istilah Allah: Majlis gereja bantah KDN kenakan syarat baru
Diterbitkan:  Feb 27, 2009 12:08 PM
Dikemaskini: 10:35 AM

Majlis Gereja Malaysia (CCM) membantah syarat tambahan yang dikenakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sewaktu membenarkan penggunaan Allah dalam sebarang penerbitan agama tersebut.

"Syarat ini tidak adil dan satu bentuk larangan yang tidak perlu dalam pengamalan agama Kristian di negara ini," kata setiausaha agung majlis tersebut, Dr Hermen Shastri hari ini.

"Memperkenalkan syarat-syarat itu sebagai prasyarat untuk menggunakan perkataan-perkataan tersebut (seperti Allah, Kaabah, Baitullah dan solat) masih satu bentuk penghadan terhadap kebebasan beragama seperti tlah dijamin pada Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

herald the catholic weekly online 241207 "Keadaan ini tidak boleh diterima."

Beliau mengulas langkah terbaru kementerian itu yang mengenakan syarat label "Untuk Penganut Kristian Sahaja" di semua penerbitan yang menggunakan nama Allah.

Label tersebut - bersaiz 16 jenis fon Arial berhuruf tebal - hendaklah dipaparkan di muka depan penerbitan Kristian seperti arahan KDN menurut Seksyen 22(1)(c) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Arahan yang dikeluarkan 21 Januari lalu itu berkuatkuasa mulai 16 Februari, kata Dr Hermen lagi.

KDN sejak penghujung 2007 mengharamkan penggunaan istilah Allah dalam mingguan Katolik, The Herald sehingga memaksa penerbitan itu menyeret kontroversi tersebut ke mahkamah.

Kes saman akhbar tersebut terhadap kerajaan akan disebut hari ini.

Dalam kenyataannya hari ini, CCM juga mempertikaikan tindakan KDN yang hanya melarang penganut Kristian, walhal penganut agama Sikh juga turut menggunakan perkataan Allah dalam kitab-kitab sucinya.

Dr Hermen juga menyatakan rasa kesal apabila kerajaan tidak mengajak majlis itu mengadakan perbincangan sebelum memperkenalkan arahan terbaru itu.

CCM bagaimanapun berterimakasih kepada KDN kerana telah membenarkan perkataan Allah digunapakai untuk penerbitan selain Islam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS