Perdana menteri meminta Kabinet menimbang semula kenaikan tol di lima lebuh raya yang akan dinaikkan mulai 1 Mac ini kerana kenaikan itu tidak sesuai dalam keadaan sekarang.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kajian semula itu akan dibincangkan pada mesyuarat mingguan kabinet esok yang dipengerusikan oleh timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak, lapor Bernama dari Pattaya, Thailand.
"Kajian semula adalah perkara terbaik yang perlu dilakukan. Selepas itu kita akan buat keputusan yang wajar," beliau dipetik berkata di sela-sela program Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan Asean hari ini.
Walaupun kenaikan itu selaras dengan terma perjanjian konsesi yang ditandatangani antara kerajaan dan pemegang konsesi lebuhraya, kelulusan yang diberikan Kabinet beberapa minggu lepas mungkin tidak sesuai dengan situasi sekarang, tambahnya.
"Walaupun dipertimbangkan daripada segi syarat-syarat konsesinya patut dinaikkan, tetapi situasi pada masa sekarang ini tidak wajar dinaikkan kerana keadaan rakyat yang susah," katanya lagi.
Tambahnya, satu pendekatan baru akan dicari untuk menangani isu itu, termasuk peruntukan dalam pakej rangsangan kedua yang akan dibentangkan di Parlimen, 10 Mac ini.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Mohd Zin Mohamed hari ini mengumumkan bahawa kenaikan kadar tol antara 0.68 sen/km hingga 50 sen melibatkan Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).
Menurut Bernama lagi, Abdullah berkata sejak perbincangan dan keputusan menaikkan tol dibuat Kabinet, keadaan ekonomi tidak bertambah baik dan ini mendorong kerajaan mengeluarkan peruntukan bantuan berupa pakej rangsangan kedua yang akan dibentangkan dalam bentuk bajet mini.
"Kalau kerajaan sendiri telah mengambil pendekatan ini memandangkan rakyat dalam keadaan kesusahan dan di samping itu ekonomi dapat dirangsangkan, saya fikir perkara ini (kenaikan) boleh dibincangkan semula dalam Kabinet mengambil kira situasi yang ada sekarang ini," kata beliau.
Perdana menteri bagaimanapun enggan menyatakan sama ada keputusan kenaikan itu akan ditangguhkan, sebaliknya berkata bahawa ternyata sekali rakyat tidak dapat menerima kenaikan itu berdasarkan laporan yang beliau terima.
Sebarang keputusan perlu mengambil kira keadaan sekarang, katanya.