Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Terima keputusan SPRM tutup 45 kes Umno
Diterbitkan:  Feb 24, 2009 7:37 PM
Dikemaskini: 11:38 AM

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup 45 kes rasuah politik yang didakwa melibatkan pemimpin Umno kerana ketiadaan bukti kukuh, harus diterima.

Perdana Menteri berkata SPRM lebih berkemampuan dan siasatannya lebih teliti berbanding siasatan Lembaga Disiplin Umno, lapor Bernama.

"Kalau SPRM dah tutup (kes), takkanlah Lembaga Disiplin nak terus lagi (siasatan), nak korek lagi. Tapi perkara ini (nak hentikan siasatanya) mesti diputuskan oleh Lembaga Disiplin.

"Tetapi pandangan saya, kalau perkara itu sudah ke SPRM dan ia dah buat keputusan tak ada kes, eloklah kita terima," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi di bangunan Parlimen hari ini.

Abdullah yang juga Presiden Umno berkata siasatan SPRM diasaskan kepada aduan yang dikemukakan oleh anggota Umno yang tidak menyerahkan laporan itu kepada Lembaga Disiplin.

"Mereka (anggota Umno) memilih (membuat laporan rasuah politik) itu kepada SPRM. Jadi SPRM sudah respon dan buat siasatan dan (keputusan) diumumkan. Kalau kes tutup, tutuplah," katanya.

Sebuah akhbar hari ini memetik sumber SPRM sebagai berkata 45 daripada 90 kes aduan rasuah politik membabitkan pemimpin Umno yang diterima oleh suruhanjaya itu telah ditutup kerana ketiadaan bukti kukuh.

Sumber itu juga menyebut SPRM tidak dapat menghasilkan fail kes yang lengkap dan kukuh kerana pengadu hanya mengemukakan aduan secara umum tanpa disertakan bukti bagi menyokong aduan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS