Umno Kelantan sedia menerima Datuk Ibrahim Ali sekiranya Ahli Parlimen Pasir Mas itu mahu kembali kepada parti itu, kata Ketua Penerangan Umno Kelantan Datuk Alwi Che Ahmad.
Alwi berkata kini terpulang kepada satu-satunya ahli Parlimen bebas itu sama ada mahu bersama-sama Barisan Nasional (BN) selepas gesaan PAS supaya Ibrahim meletak jawatan sebagai anggota Parlimen.
Ibrahim menang dalam pilihanraya umum Mac 2008 atas tiket PAS, lapor Bernama
"Kena tanya dia (Ibrahim) dulu apa kehendak dia, sekiranya dia nak masuk (Umno) dia kena pohon sebab dia tak pernah keluar (Umno), dulu dia dikeluarkan.
"Bagi kita, kita terima sesiapa sahaja," kata Alwi ketika ditemui pemberita di luar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.
Alwi adalah ketua pembangkang di DUN Kelantan.
Desakan terhadap Ibrahim itu berikutan kelantangan beliau kebelakangan ini sering mengkritik PAS.
Ibrahim, 57, digugurkan dari jawatan ketua Umno Pasir Mas pada 22 November 2003 dan kemudian digantung keanggotaannya seumur hidup dalam Umno kerana bertanding sebagai calon bebas dalam pilihanraya umum Ke-11, Mei 2004, tetapi tewas kepada calon PAS, Ismail Noh.