Peguam Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim amat kesal dengan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilaporkan berkata terdapat bukti kukuh menunjukkan menteri besar Selangor itu menyalahguna kuasanya berhubung penyelenggaran kereta peribadinya serta pembelian 46 lembu korban.
Mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Ahmad Said Hamdan pagi ini, Sankara Nair berkata, menjadi amalan suruhanjaya tersebut selama ini tidak mendedahkan pada umum hasil siasatan yang dijalankannya.
Katanya, dalam kes ini bagaimanapun SPRM telah menyimpang daripada amalan tersebut dan dengan jelas mengamalkan sikap dwi-standard.
Sankara menegaskan demikian dalam satu sidang akhbar di bangunan pentadbiran negeri di Shah Alam petang tadi. Turut hadir, exco kanan kerajaan negeri Teresa Kok.
Sehubungan itu, Sankaran bertanya mengapa Ahmad Said tidak membuat perkara yang sama apabila siasatan terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail selesai.
Tindakan SPRM itu, katanya, harus dipandang berat kerana anak guamnya - seorang ahli politik pembangkang - telah ditonjolkan agar kelihatan bersalah "di mata umum sebelum beliau didakwa dan didapati bersalah oleh mahkamah".
Pada mulanya pihak media dimaklumkan bahawa Abdul Khalid akan mengadakan sidang akhbar tersebut.
Bagaimanapun, dalam satu kenyataan, Abdul Khalid berkata, beliau telah dinasihat oleh peguamnya supaya tidak membuat sebarang kenyataan.
"Saya dimaklumkan bahawa siasatan SPRM terhadap saya masih berjalan dan telah dinasihatikan oleh peguam supaya tidak memberi sebarang komen bagi menghormati perjalanan proses undang-undang.
"Sebarang kenyataan akan dibuat oleh peguam saya, Sankara Nair," kenyataan tersebut dipetik.
Sementara itu, Teresa mendakwa, kenyataan Ahmad Said itu bermotif poltik dan menunjukkan sikap dwi-standardnya.
Beliau juga mendakwa, episod tersebut nampaknya ada kaitan dengan situasi politik di Perak yang menyaksikan BN berdepan dengan kebuntuan politik ciptaannya sendiri.
Menurutnya lagi, tindakan terhadap Abdul Khalid itu juga dilihat ada kaitan dengan pendedahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen semalam, mengenai taktik yang digunakan oleh BN untuk memujuk wakil rakyat Pakatan supaya bertukar parti.
Malah, katanya, tindakan segera siasatan dijalankan terhadap menteri besar Selangor itu turut menimbulkan keraguan terhadap kebebasan suruhanjaya antirasuah tersebut.