PAS yang tidak senang dengan kelantangan Datuk Ibrahim Ali di Dewan Rakyat menyifatkan anggota parlimen Pasir Mas itu "tidak mengenang budi" dan menggesanya meletakkan jawatan.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata sebagai wakil rakyat yang diberi peluang oleh PAS bertanding atas tiket parti itu, Ibrahim tidak sepatutnya sering menghentam PAS "seolah-olah beliau sahaja yang betul", lapor Bernama .
"Kalau dia bermaruah, dia boleh meletak jawatan," beliau dipetik berkata semasa ditemui pada majlis perasmian pecah tanah pembinaan Jambatan Pachor oleh Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini.
Takiyuddin, yang juga exco Kerajaan Tempatan, Pelancongan
dan Kebudayaan Kelantan, berkata ahli parlimen bebas itu meminta untuk bertanding pada pilihanraya umum Mac tahun lepas atas tiket PAS walaupun pemimpin PAS kawasannya pernah menolak cadangan itu.
"Tok Guru (Nik Abdul Aziz) telah memberi peluang kepada dia bertanding (atas tiket PAS) walaupun kita terpaksa membelakangi kehendak ahli di kawasan itu," katanya, seperti dilaporkan.
Mengenai kemungkinan Ibrahim menawar diri untuk masuk PAS, beliau berkata terpulang kepada bekas anggota Majlis Tertinggi Umno itu berbuat demikian.
"Kita tidak buat tawaran kepada dia dan kita juga tidak pernah menolak kalau dia hendak masuk PAS, tetapi setakat ini dia tidak pernah meminta untuk masuk PAS," katanya.
Semalam, ramai anggota parlimen Pakatan Rakyat dilaporkan keluar dari Dewan Rakyat susulan tidak berpuas hati terhadap kata-kata terhadap pembangkang dan berlaku perang mulut sehingga menjadikan dewan kecoh.
Ibrahim sebelum itu menyindir anggota parlimen yang didakwanya bersikap hipokrit apabila tidak memperjuangkan apa yang sepatutnya mereka perjuangkan ketika berkuasa sebaliknya menghentam kerajaan apabila berada di luar kerajaan.
Kekecohan terus berlaku apabila Ibrahim menggunakan perkataan "bangsa asing" yang dikatakan tidak tahu menggunakan perkataan sesuai terhadap Raja-Raja Melayu.
N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) kemudian meminta Ibrahim menarik balik perkataan bangsa asing itu kerana menyifatkan ia merujuk kepada bangsa yang ada di dalam negara ini selain ia kurang sopan.
Ibrahim kemudian meminta maaf dan menarik balik semua perkataan yang tidak sesuai yang disebut kerana mendakwa Gobalakrishnan membuat provokasi terhadapnya.
Tidak lama selepas itu, dewan menjadi panas semula apabila Khalid Abdul Samad (PAS-Shah Alam) mempertikaikan sikap Ibrahim yang didakwa seolah-olah hanya beliau yang memperjuangkan hak dan institusi Raja-Raja Melayu.
Perang mulut sekali lagi berlaku apabila Ibrahim enggan memberi laluan kepada Khalid yang inginkan penjelasan menyebabkan Khalid keluar dari Dewan.
Kecewa dengan sikap pembangkang dan ucapannya yang sering diganggu, Ibrahim kemudian menghempaskan songkok yang dipakai di atas meja sebelum sebahagian besar wakil pembangkang keluar Dewan.