Pemuda Umno Perak hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memintanya menyiasat tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V Sivakumar menggantung dan melarang Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir bersama enam Exconya daripada menghadiri sidang dewan itu berkuatkuasa serta merta.
Penolong Setiausaha Pemuda Umno Perak Hang Tuah Din, yang membuat laporan itu, berkata tindakan Sivakumar itu berniat jahat, bermotif politik dan menyalahguna kuasa yang diamanahkan kepadanya selain menghina dan mencabar Sultan Perak Sultan Azlan Shah.
Menurut Bernama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, pula membuat laporan polis di Balai Polis Slim River berhubung tindakan Sivakumar itu.
Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno Perak, Zainol Fadzi Paharudin memberitahu Malaysiakini bahawa beberapa NGO di Perak akan membuat laporan kepada polis dan SPRM terhadap Sivakumar.
Katanya, laporan polis akan dibuat terhadap Sivakumar mengikut Akta Hasutan.
Manakala laporan kepada SPRM dibuat atas dakwaan Sivakumar menyalahguna kuasanya sebagai Speaker DUN Perak.
"Kita telah minta peguam Umno dan peguam kerajaan negeri untuk mengkajinya sebelum laporan dibuat kepada pihak polis dan SPRM," katanya dihubungi hari ini.
Beliau (foto) adalah salah seorang daripada enam exco yang digantung dan dilarang oleh Sivakumar daripada menghadiri sidang DUN.
Dr Zambry dan enam exconya itu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak berhubung dakwaan mereka telah menghina DUN apabila mengangkat sumpah jawatan Selasa lalu.
Ini ekoran aduan oleh Adun Canning (DAP), Wong Kah Woh, bahawa majlis angkat sumpah jawatan mereka bertentangan dengan Undang-undang Tubuh Negeri Perak dan menghina DUN kerana Menteri Besar Ke-10, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, belum meletak jawatan secara rasmi.
Selain Zainol, lima lagi anggota exco berkenaan ialah Datuk Ramly Zahari (Manong), Datuk Saarani Mohamad (Kota Tampan), Hamidah Osman (Sungai Rapat), Mohd Zahir Abdul Khalid (Kamunting) dan Dr Mah Hang Soon (Chenderiang).
'Keputusan tidak wajar'
Siasatan berkenaan dijalankan mengikut Perkara 72(3) Perintah Tetap DUN Perak.
"Kita juga akan mencabar keputusan speaker itu kerana tindakan itu adalah tidak wajar. Dia bertindak sebagai pendakwa dan hakim dalam kes itu," katanya.
Zainol berkata, keputusan melantik menteri besar dan anggota exco adalah keputusan Sultan Perak.
"Ini bermakna Sivakumar telah menderhaka kepada Sultan Perak dan beliau tidak memperakui titah Sultan," katanya.
Zainol berkata, Sivakumar telah memanggil menteri besar dan enam exco kerajaan negeri semalam.
"Menteri besar dan exco membuat bantahan kepada Speakaer terhadap tuduhan tersebut kerana sepatutnya beliau baca (tuduhan itu) dalam sidang dewan, tetapi mengapa beliau membuat keputusan sendiri.
"Selepas Dr Zambry dan anggota exco membantah tuduhan tersebut kepada Speaker, kami semua keluar dari bilik Sivakumar," katanya.