Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Keputusan kes bunuh Altantuya 9 April
Diterbitkan:  Feb 17, 2009 5:30 PM
Dikemaskini: 11:31 AM

Nasib dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) yang didakwa membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu bakal diketahui 9

April depan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Md Yasin hari ini membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pihak pembelaan di akhir kes pembelaan selama dua hari.

Cif Inspektor Azilah Hadri, 33, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 37, telah dipanggil membela diri pada 31 Oktober tahun lalu. Azilah memberi keterangan membela dirinya sendiri di kandang saksi manakala Sirul Azhar membacakan keterangan bertulis di kandang tertuduh, lapor Bernama.

Tiada saksi lain yang dipanggil.

Azilah dan Sirul Azhar didakwa membunuh Altantuya Shaariibuu, 28, di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara jam 10 malam 19 Okt dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Sebelum ini, mereka dibicarakan bersama-sama Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia (MSRC), Abdul Razak Abdullah Baginda, 48, yang dituduh bersubahat membunuh Altantuya.

Bagaimanapun pada 31 Oktober 2008, penganalisis politik itu dilepaskan dan dibebaskan tanpa perlu membela diri setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting dalam pertuduhan bersubahat.

Sementara itu, Timbalan Pendakwaraya Manoj Kurup telah berhujah bahawa

Azilah tidak dapat membuktikan alibi yang dia tidak berada di kawasan kejadian pada malam pembunuhan.

Katanya Azilah juga tidak memanggil seorang saksipun untuk mengesahkan perkara tersebut.

"Kita diberitahu oleh tertuduh pertama sendiri yang dia berada di Wangsa Maju. Notis alibi yang termaktub di bawah Seksyen 402A Kanun Prosedur Jenayah menyatakan seseorang itu perlu tahu akan fakta alibi. Namun, atas sebab yang hanya diketahui tertuduh pertama, dia memilih untuk tidak memanggil orang yang dinamakan dalam P430 (teman wanita Azilah, Nur Azila Baharuddin) sebagai saksi.

"Hujah kami mudah sahaja itu kegagalan untuk memanggil saksi sebagai alibinya, tertuduh pertama telah hilang peluang untuk mewujudkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan," katanya.

Manoj juga berhujah keterangan bersumpah Azilah tercemar berikutan tidak konsisten, bercanggah dan tidak munasabah, sehinggakan, hanya satu kesimpulan boleh dibuat daripadanya iaitu tertuduh pertama hanya memutar-belitkannya.

"Tertuduh pertama berkata beliau tidak bertanya kepada Abdul Razak Abdullah kenapa wanita dan lelaki Cina itu mengugutnya. Dia juga berkata DSP Musa Safri tidak memberikan butiran kepadanya mengenai masalah yang dihadapi Abdul Razak Abdullah.

"Jadi kenapa tertuduh pertama tidak bertanya kepada Abdul Razak Abdullah ‘ugut' itu mengenai apa? Tidakkah sebagai pegawai polis, dia mempunyai rasa ingin tahu mengenai perkara itu? Dengan segala hormatnya, hujah kami ialah keterangan tertuduh pertama di sini memang cukup luarbiasa," katanya.

Manoj berkata keterangan Azilah itu memang tidak mengejutkan atas dua alasan. Pertamanya, katanya: "Tertuduh pertama mengaku semasa diperiksa balas yang dia mempunyai budi bicara untuk mengambil apa juga tindakan berhubung masalah dihadapi Abdul Razak dan bahawa Abdul Razak menyerahkan sepenuhnya kepadanya untuk menyelesaikan masalah itu.

"Keduanya, tertuduh pertama mengaku, semasa diperiksa balas, bagi dirinya ‘masalah Abdul Razak telah selesai pada malam itu juga’. Kemudian dia segera menafikan yang dia tahu apa yang telah berlaku kepada si mati. Bagaimana dia tahu yang masalah Abdul Razak sudah selesai pada malam itu tanpa mengetahui apa yang telah berlaku kepada si mati? Tertuduh pertama terperangkap dengan pembohongannya sendiri di sini."

Manoj juga berhujah kedua-dua tertuduh kini saling bersaing untuk meraih hadiah bagi fiksyen terbaik yang diberitahu di Mahkamah dan kedua-dua versi patut ditolak kerana tidak berjaya mewujudkan keraguan munasabah berhubung kerumitan dan kesalahan dalam pembunuhan Altantuya.

"Satu perkara kritikal yang perlukan perhatian wujud di sini. Jika benar berlaku keadaan di mana tertuduh kedua sepatutnya membawa si mati balik ke hotel, kenapa meneruskan perjalanan ke Bukit Aman dan memindahkan si mati di sana? Kenapa tidak dilakukan di tempat mereka berhenti?.

"Tertuduh pertama berkata tertuduh kedua mahu pergi ke Bukit Aman terlebih dahulu tetapi tiada penjelasan diberikan berhubung perkara ini.

Tertuduh pertama ialah pegawai atasan tertuduh kedua, tetapi dia dilihat secara membabi buta mengikut tertuduh kedua ke Bukit Aman, tanpa sebarang alasan diberikan bagi kelakuan aneh ini. Pembelaan diri oleh kedua-dua tertuduh menimbulkan pelbagai persoalan tetapi tiada jawapan diberikan," kata Manoj.

Pada akhir hujahannya, Manoj berkata beberapa keterangan keadaan yang telah cuba dibuktikan oleh pihak pendakwaan kekal tidak disangkal, tidak dijelaskan dan tidak dijawab oleh kedua-dua tertuduh.

"Kekukuhan gabungan beberapa keterangan itu apabila dipintal telah membentuk dua utas tali, cukup kuat untuk mengantung setiap tertuduh. Dengan penuh hormat, kami berhujah bahawa tiada keraguan munasabah ditimbulkan terhadap kes pendakwaan oleh mana-mana tertuduh.

"Pihak pendakwaan telah membuktikan keraguan melampaui munasabah akan kesalahan kedua-dua tertuduh, mewajarkan sabitan terhadap pertuduhan membunuh yang dilakukan atas niat bersama kedua-dua mereka," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS