Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tuanku Mizan harap serahan kuasa berjalan lancar...
Diterbitkan:  Feb 16, 2009 7:11 PM
Dikemaskini: 11:16 AM

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang bakal menyerahkan kepimpinannya kepada Datuk Seri Najib Tun Razak bulan depan.

Dalam titah ucapan merasmikan mesyuarat pertama penggal kedua Parlimen ke-12 di Dewan Rakyat, Seri Paduka Baginda berharap peralihan kuasa itu akan berjalan lancar, lapor Bernama.

"Beta merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri di atas kepimpinan dan segala sumbangannya terutama dalam isu-isu pendemokrasian, akauntabiliti, integriti, pembanterasan rasuah, pengukuhan institusi kehakiman serta pendekatan Islam Hadhari.

"Beta berharap peralihan kepimpinan ini akan berjalan lancar agar agenda pembangunan negara dapat diteruskan," titah Seri Paduka.

Pada 8 Oktober tahun lalu, Abdullah mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti Mac ini dan akan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Beliau dilantik Perdana Menteri kelima pada 31 Oktober 2003.

Sebelum itu, ketibaan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah di perkarangan bangunan Parlimen, disambut perdana menteri dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah.

Turut menyambut Seri Paduka berdua ialah Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Speaker Dewan Negara Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh.

'Hormat diraja'

Tuanku Mizan kemudian menerima sembah "Hormat Diraja" sebelum lagu NegaraKu dimainkan oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja dari Kem Sungai Besi.

Ia disusuli dengan kibaran Bendera Diraja yang disertai tembakan meriam 21 das.

Baginda kemudian memeriksa kawalan kehormat yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Sungai Besi, diketuai oleh Mejar Norhisham Kamar.

Selepas memeriksa perbarisan kehormat, Seri Paduka kembali ke Peterana Diraja dan menerima sembah "Hormat Diraja" kali kedua sebelum lagu NegaraKu dimainkan.

Baginda kemudian diiringi oleh Abdullah dan isteri memasuki Bangunan Parlimen.

Tepat jam 10.40 pagi, loceng istiadat dibunyikan dan baginda kemudian memasuki galeri Dewan Rakyat dengan diiringi Pandikar Amin.

Perdana Menteri kemudian menyembahkan titah ucapan diraja kepada baginda bagi merasmikan Penggal Kedua Parlimen ke-12.

Mesyuarat pertama Dewan Rakyat bermula hari ini dan berakhir 19 Mac.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS