Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Umno diminta supaya menghormati pandangan akar umbi yang mahukan calon Umno diletak bertanding dalam pilihanraya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau 7 April depan.

Ketua Umno bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Md Zain berkata, pihaknya tetap dengan desakan supaya kerusi itu dikembalikan kepada Umno.

"Ini kerana ia bukan merupakan pandangan bahagian itu sahaja, tetapi pandangan dan maklum balas dari akar umbi dan pegawai kerajaan di kawasan tersebut," katanya kepada Malaysiakini .

DUN Bukit Selambau dalam kawasan Parlimen Merbok kosong ekoran peletakan jawatan wakil rakyatnya, V Arumugam.

Arumugam menang atas tiket bebas dalam pilihanraya umum tahun lalu dengan menewaskan calon BN dari MIC, S Krishnan, sebelum menyertai PKR dan dilantik sebagai anggota exco kerajaan negeri.

Arumugam meletakan kedua-dua jawatan itu atas alasan tidak tahan dengan ugutan pihak tertentu.

Terdapat 35,140 pengundi layak mengundi di DUN Bukit Selambau, dengan lebih 50 peratus merupakan pengundi Melayu.

Mereka terdiri daripada 35,125 pengundi biasa, manakala 15 lagi adalah pemilih pos.

Berdasar maklum balas

Sehubungan itu, Tajul berharap pucuk pimpinan BN dan Umno tidak membuat kesilapan dalam menentukan calon untuk bertanding di situ.

"Kalau nak menang, pilih calon ikut kehendak rakyat bawah," katanya.

Katanya, selain faktor lebih 50 peratus pengundi Melayu, kebosanan rakyat Bukit Selambau terhadap MIC mengakibatkan orang India tidak menyokong calon BN.

Bahkan, katanya, maklum balas yang diterimanya menunjukkan bahawa pemimpin MIC peringkat bawahan di situ sendiri tidak menyokong parti itu.

Beliau mendakwa, bekas ketua Pemuda MIC sendiri tidak menyokong MIC, tetapi lebih senang bergerak melalui NGO atau bergerak sendiri.

"Nak ikut tradisi ataupun nak menang... Arus di Bukit Selambau, orang Melayu tidak begitu senang dengan MIC.

"Pada pandangan bahagian, MIC dalam keadaan lemah, contohnya dalam isu A Kugan (yang mati dalam tahanan polis)...

"Jadi, mengapa tidak kali ini serahkan kembali kerusi Bukit Selambau kepada Umno," katanya.

Menurutnya, sebagai balasannya, MIC boleh ditawarkan jawatan senator untuk mewakili kaum tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS