Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Eli: Saya mangsa sebaran foto bogel
Diterbitkan:  Feb 16, 2009 10:09 AM
Dikemaskini: 10:22 AM

kemaskini 3.20pm Seorang exco kerajaan Selangor membuat aduan polis tengah malam tadi berhubung penyebaran foto-foto bogelnya kepada umum.

Elizabeth Wong, yang juga wakil rakyat PKR di Bukit Lanjan, membuat laporan di balai polis Damansara, Petaling Jaya kira-kira jam 11.30 malam.

Dihubungi hari ini, ketua polis daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada ahli politik berusia lewat 30-an itu.

Difahamkan foto-foto itu dirakam tanpa kebenarannya - kemungkinan oleh seorang bekas teman lelakinya - sewaktu beliau sedang tidur.

"Saya menjadi mangsa dalam insiden ini," katanya dalam satu kenyataan tengah hari ini (teks lengkap di bawah) .

elizabeth wong and police "Saya dimaklumkan beberapa orang sedang cuba mengedarkan foto-foto atau rakaman video yang menunjukkan saya tidur dalam keadaan separuh bogel dan juga dalam posisi intim."

Tambahnya, pengedaran gambar-gambar ini serangan jahat terhadap keperibadiannya.

"Ia merupakan satu pencabulan nyata terhadap maruah saya, satu pencabulan terhadap hak peribadi saya, khususnya kekudusan kehidupan peribadi saya.

"Ia dilakukan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab bagi memalukan dan mencemarkan nama baik saya," katanya.

Elizabeth menjadi sasaran kedua berkaitan dakwaan seks selepas serangan terhadap seorang wakil rakyat PAS , yang juga exco kerajaan negeri, Dr Halimah Ali yang didakwa ditangkap basah di sebuah hotel sekitar Pelabuhan Klang.

Sambil menafikannya, beliau membuat aduan polis hujung bulan lepas terhadap sebuah laman web pro-Umno berhubung penyiaran tuduhan tersebut.

Teks lengkap (terjemahan) kenyataan akhbar

Saya telah dimaklumkan pada hari Jumaat, 13 Februari 2009 oleh wartawan-wartawan Malay Mail bahawa mereka memiliki foto-foto intim saya dan akhbar tersebut ingin menyiarkan berita mengenai foto-foto tersebut.

Saya dimaklumkan bahawa beberapa orang cuba menyebarkan foto/video yang menunjukkan saya tidur dalam keadaan separuh bogel dan juga dalam posisi intim.

malay mail article on elizabeth wong nude photos 160209 Penyebaran dan penerbitan foto/video tersebut satu serangan berniat jahat terhadap keperibadian saya. Ia merupakan pencabulan maruah saya, satu pelanggaran ruang peribadi saya dan terutamanya, kekudusan kehidupan peribadi saya. Ia juga perbuatan mereka yang tidak berakhlak untuk memalukan saya dan mencemar nama baik saya.

Saya menjadi mangsa perbuatan tersebut.

Saya telah membuat laporan polis semalam berhubung perkara itu dan saya akan bekerjasama sepenuhnya dengan polis dalam menjalankan siasatan mereka. Oleh itu, saya tidak akan membuat sebarang spekulasi secara terbuka tentang siapakah mereka yang bertanggungjawab menceroboh ruang peribadi saya.

Saya telah menerima banyak sokongan daripada penyokong saya, rakan dan penduduk di kawasan pilihanraya saya. Saya ingin mengucapkan terima kasih atas keprihatinan, sokongan dan galakan mereka.

Anggota keluarga saya juga berdiri teguh di belakang saya. Saya ingin merayu kepada pihak media supaya memberi saya dan anggota keluarga saya ruang keselesaan dalam menghadapi keadaan mencabar ini supaya saya boleh memikul cabaran berat ini.

Buat masa ini, saya akan menjalankan tugas seperti biasa, terus berkhidmat dengan jujur kepada rakyat Selangor.

Elizabeth Wong Keat Ping

Adun Bukit Lanjan

Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Hal Ehwal Pengguna

Kerajan Negeri Selangor


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS