Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

NGO hak asasi wanita dalam Islam, Sisters in Islam (SIS) menolak tanggapan bahawa program anjurannya berkaitan isu keadilan dan kesamarataan jantina dalam keluarga Islam, boleh memberi kesan negatif kepada kefahaman agama di negara ini.

SIS juga menafikan program anjurannya itu dihadiri pelbagai tokoh "liberal muslim yang dipertikaikan oleh ulama Islam muktabar" yang bertujuan "menyebarkan propaganda" mereka.

"Takkanlah 200 sarjana Islam daripada seluruh dunia dalam majlis ini semuanya sesat," kata penyelaras program NGO itu, Norhayati Kaprawi ketika ditemui Malaysiakini dalam program tersebut malam tadi.

Norhayati mengulas bantahan keras Pemuda PAS dan Persatuan Ulama Malaysia Pulau Pinang (PUMPP) terhadap program itu di sebuah hotel di ibunegara yang bermula malam tadi.

PUMPP semalam dilaporkan mendakwa program itu berhasrat mempertikaikan, khususnya hukum syariah berkaitan dengan wanita dan kekeluargaan yang dipersetujui dan diterima oleh kesepakatan ulama muktabar.

Malah, tambahnya, ia bakal dihadiri pelbagai tokoh "liberal Islam yang dipertikaikan oleh ulama Islam muktabar" yang bertujuan "menyebarkan propaganda" kelompok tersebut.

Sementara itu, Lajnah Dakwah dan Pembelaan Pemuda PAS pusat pula dilaporkan mendakwa, topik perbincangan dalam program itu - antaranya kesemarataan Islam, gender, poligami, faraid - akan menyentuh isu-isu sensitif berkaitan Islam.

Gerakan sejagat

Berikutan itu, Pengerusinya, Riduan Mohd Noor menyeru NGO Islam Melayu tampil membuat bantahan bersama terhadap program tersebut.

Bagaimanapun, sehingga akhir program hari pertama NGO itu malam tadi, tiada sebarang bantahan daripada mana-mana pihak.

Sementara itu, pengerusi SIS Zainah Anwar dalam ucapan alu-aluannya berkata, program sebegitu dirangka ekoran masih banyak ketidakadilan berlaku terhadap wanita Islam.

"Diharapkan Musawah sebagai gerakan sejagat, akan memimpin dunia Islam supaya sedar bahawa tuntutan wanita kepada keadilan dan kesamarataan bukanlah sesuatu yang asing dan mengancam agama Islam, tetapi ia sebaliknya berakhar daripada tradisi agama itu sendiri.

"Keadilan dan kesamarataan tidak dapat sesekali dirundingkan. Nilai itu mesti menjadi teras bagaimana menjadi orang Islam pada hari ini," katanya.

Penasihat khas kepada perdana menteri Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula berharap hasil pertemuan itu akan melahirkan resolusi yang berteraskan al-Quran dan Sunnah.

"Seperti biasa, saya percaya, setiap resolusi yang berteraskan kepada al-Quran dan Sunnah akan mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkenaan," tambahnya.

Bawa pada k'rajaan

Menurutnya lagi, kerajaan di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badari dan bakal penggantinya Datuk Seri Najib Razak "cukup kuat untuk mendengar pandangan-pandangan yang mungkin berebeza" hasil daripada pertemuan itu.

"Malam ini mungkin akan ada sepuluh idea yang diutarakan. Tetapi kalau saya dapat sampaikan bawa satu idea pun (kepada kerajaan), saya rasa berjaya. Saya harap cukup keberanian untuk membawanya," katanya.

Mesyuarat lima hari itu akan menyaksikan ulama terkemuka Islam, pengamal undang-undang dan aktivis dari 55 negara meneliti undang-undang yang mengikat, membentuk dan memberi kesan terhadap keluarga Islam.

Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Berhubung Keganasan terhadap Wanita, Dr Yakin Erturk hadir di program global mengenai kesamaan dan keadilan dalam keluarga malam tadi.

ADS