Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS, Persatuan Ulama PP bantah program anjuran SIS

Seramai 200 sarjana Islam dari seluruh dunia akan berkumpul selama lima hari, mulai malam ini, di Kuala Lumpur untuk membincangkan tentang kesaksamaan dan keadilan dalam keluarga Islam.

Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Berhubung Keganasan terhadap Wanita, Dr Yakin Erturk dijadual hadir di program global mengenai kesamaan dan keadilan dalam keluarga itu.

Mesyuarat lima hari itu akan menyaksikan ulama terkemuka Islam, pengamal undang-undang dan aktivis dari 55 negara meneliti undang-undang yang mengikat, membentuk dan memberi kesan terhadap keluarga Islam. Ia dianjurkan Sisters in Islam (SIS), kumpulan penyokong hak-hak wanita dalam Islam di Malaysia.

Menurut kenyataan SIS, Penasihat khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shahrizat merupakan hos kepada program tersebut.

Bagaimanapun, program anjuran SIS itu dibantah keras oleh Persatuan Ulama Malaysia Pulau Pinang (PUMPP) yang mendakwa pertemuan itu dilihat berhasrat mempertikaikan pelbagai prinsip Islam tertentu yang disepakati ulama muktabar.

Ia turut dibantah oleh Lajnah Dakwah dan Pembelaan Dewan Pemuda PAS pusat.

Dalam satu kenyataan hari ini, PUMPP mendakwa program itu berhasrat mempertikaikan, khususnya hukum syariah berkaitan dengan wanita dan kekeluargaan yang dipersetujui dan diterima oleh kesepakatan ulama muktabar.

Bantahan bersama

Malah, tambahnya, ia bakal dihadiri pelbagai tokoh "liberal Islam yang dipertikaikan oleh ulama Islam muktabar" yang bertujuan "menyebarkan propaganda" kelompok tersebut.

Sehubungan itu, PUMPP menyelar pelaksanaan program ini yang dilihatnya bakal merosakkan lagi akidah umat Islam di Malaysia, seterusnya membawa perpecahan serta memberi persepsi yang salah terhadap Islam kepada semua pihak, termasuk masyarakat dunia yang hadir dan melihat perkembangannya di Malaysia.

"PUMPP juga menyelar kehadiran pimpinan negara bagi merasmikan program tersebut, seolah-olah tidak merujuk terlebih dahulu kepada pihak berkuasa agama dalam negara seperti Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan Majlis Fatwa Kebangsaan," katanya.

Sementara itu, Lajnah Dakwah dan Pembelaan Pemuda PAS pusat pula dilaporkan mendakwa, topik perbincangan dalam program itu - antaranya kesemarataan Islam, gender, poligami, faraid - akan menyentuh isu-isu sensitif berkaitan Islam.

Berikutan itu, Pengerusinya, Riduan Mohd Noor menyeru NGO Islam Melayu tampil membuat bantahan bersama terhadap program tersebut.

"Saya cabar mereka untuk tampil menentang program mempromosikan Islam liberal kerana ini juga merupakan agenda untuk meruntuhkan jati diri orang Melayu," katanya dalam Harakahdaily.

SIS dalam jemputan medianya berkata, program itu akan menjadi pertemuan pertama untuk reformasi undangan-undang keluarga Islam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS