Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) menempelak "media massa tertentu" kerana didakwanya menggambarkan pejuang bahasa yang menentang dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) "seolah-olah bodoh dan fanatik".
Pengerusi jawatankuasa induk gabungan NGO dan parti politik pembangkang itu, Datuk Dr Hassan Ahmad berkata, sejak mereka melancarkan kempen mansuhkan PPSMI di ibunegara hujung bulan lalu, terdapat usaha di media "memunasabahkan perkara (PPSMI) yang salah".
Beliau yang juga bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka berkata, media-media itu hanya mengambil pandangan dari tepi-tepi jalan "tetapi tidak bertanya langsung kepada tokoh dan pejuang bahasa".
Dr Hassan juga mendakwa terdapat media yang mengadakan tinjauan pendapat umum "tetapi hanya berdasarkan responden yang terhad antara 500 hingga 1,000 orang sahaja".
"Bagaimanakah kita hendak tentukan nasib bangsa (berdasarkan jumlah responden itu) sedangkan ratusan ribu pelajar mengalami masalah dengan dasar itu?
"Kita mahukan media tertentu menggunakan data untuk mempertahankan dasar itu," katanya dalam sidang media di pejabat Persatuan Penulis Nasional (Pena) di Kuala Lumpur pagi tadi.
"TV3 misalnya, patut bincangkan perkara ini. Cuba pergi ke Sarawak, duduk dalam kelas, tengok sendiri apa yang berlaku. Janganlah tanya makcik yang tengah goreng pisang, duduk di warung-warung," tambahnya.
Ditanya apakah tujuan media memberikan laporan negatif terhadap GMP, Dr Hassan berkata: "Itu kena tanya dia (media terbabit). Mungkin suara orang atas. Kalau cakap banyak kena buang."
Serah memo pada MP
Dr Hassan bagaimanapun berkata, tidak semua media yang mengamalkan sikap tersebut.
Akhbar berbahasa Cina, tambahnya, konsisten menyiarkan fakta-fakta yang betul sehingga menimbulkan kesedaran di kalangan NGO dan ahli parti politik kaum itu - MCA.
Beliau yang juga pengarah Yayasan Karyawan bagaimanapun tidak berniat memboikot media terbabit.
"Tidak perlu boikot, kalau boikot tidak masuk terus," katanya berseloroh.
Beliau juga berkata, pihaknya akan menghantar memorandum kepada semua ahli Parlimen pada 17 Februari depan, untuk meminta mereka menyuarakan perkara itu di Dewan Rakyat.
Parlimen akan menyambung sidangnya Isnin depan.
Turut serta dalam sidang media itu ialah Sasterawan Negara A Samad Said, Prof Sains Dr Shahrir Md Zain dan ketua penerangan Pemuda PAS, Suhaizan Kait.
GMP dalam sidang media selama kira-kira sejam itu turut mengedarkan kenyataan akhbar setebal 13 halaman yang menyenaraikan fakta-fakta kegagalan PPSMI, berdasarkan kajian ilmiah dan bebas yang dibuat oleh sarjana tempatan.
'Dr M penguncup bahasa'
Sementara itu, A Samad pula berkata, walaupun beliau sendiri seorang sasterawan negara, tetapi pandangannya ada yang tidak disiar atau kurang diberi keutamaan oleh media arus perdana.
Bagaimanapun, penulis pelbagai genre kreatif itu berkata, belum ada karya-karyanya yang digam di media-media.
"Kalau gam, gamlah. Setakat ini tidak ada. Saya hanya cakap apa yang benar. Saya katakan apa yang benar," katanya.
A Samad juga menempelak "sekumpulan kecil elitis kuasa yang sombong" dan tidak mahu mendengar bantahan ahli bahasa dan sastera berhubung gesaan pemansuhan dasar itu.
Katanya, jika perkara itu berterusan, tidak mustahil suatu hari nanti akhbar-akhbar utama berbahasa Melayu yang lama seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian, akan berkubur.
Beliau turut menempelak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memulakan dasar itu sebagai "penguncup bahasa".
Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Pelajaran, Hishamuddin Hussein pula disifatkan beliau sebagai "pelanjut penguncup bahasa".
Hujung minggu ini, GMP akan memberikan sokongan kepada sebuah lagi badan Gabungan Penulis Nasional (Gapena) yang akan membuat laporan polis ekoran pelaksanaan PPSMI yang didakwanya melanggar perlembagaan pada Ahad ini.
[VIDEO:16687]